Isteri anggota polis maut kemalangan - Utusan Malaysia

Isteri anggota polis maut kemalangan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut, di Ipoh hari ini. - GAMBAR JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Ipoh-Lumut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.10 pagi itu, Suwaibah Hashim, 35, isteri kepada anggota yang bertugas di Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ipoh maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, ketika kejadian, kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Silibin.

Katanya, apabila sampai di satu selekoh, kereta Perodua Viva dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan dipandu mangsa kemudiannya bertembung sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang wanita yang datang dari arah bertentangan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Vios yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, jalan basah akibat hujan dan kemalangan itu berlaku di jalan selekoh, dua hala, garisan berkembar tengah jalan dan tidak sesak.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Perodua Viva dipandu mangsa remuk di bahagian tepi sebelah kiri dan bahagian pintu kiri tempat duduk penumpang belakang dan hadapan. 

“Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya