Diberkas polis selepas 10 minit pecah rumah - Utusan Malaysia

Diberkas polis selepas 10 minit pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki kempunan untuk melarikan barangan berharga apabila diberkas polis selepas 10 minit memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 33 tahun dan 41 tahun itu dicekup polis kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas Balai Polis Bukit Indah menerima panggilan daripada pengadu tentang tindak-tanduk mereka yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pengadu memaklumkan ternampak dua lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dalam keadaan mencurigakan apabila memberhentikannya di lorong belakang rumah terbabit.

Katanya, salah seorang suspek berkenaan dilihat memasuki rumah berkenaan manakala seorang lagi menunggu di luar.

“Bertindak atas maklumat, pasukan tindakan khas dari Polis Daerah Iskandar Puteri ditugaskan ke tempat kejadian dan menahan kedua-dua suspek tersebut.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis merampas seunit alat pemotong, seunit playar, dua pasang sarung tangan dan dua unit telefon bimbit serta menyita kenderaan berkenaan yang didaftar atas nama adik salah seorang suspek.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mendapati pemilik tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku kerana berada di Singapura.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan menunjukkan kedua-dua suspek positif dadah jenis Methaphetamine.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat rekod lampau bagi kes dadah dan jenayah. Hasil soal siasat yang dilakukan kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”’ katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya