PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menggunakan pendekatan rundingan terus dalam projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) sedangkan mereka sering melaung-laungkan penolakan terhadap amalan tersebut.
Lebih malang lagi, kata Ka Siong, amalan rundingan terus itu menyaksikan kos projek itu meningkat dengan ketara.
Menurutnya, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dari DAP pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kos projek KVDT2 adalah antara RM3 dan RM3.5 bilion jika ditender semula tetapi kemudian meluluskannya dengan kos RM4.475 bilion secara rundingan terus.
“Anthony Loke bersama lima pemimpin DAP yang ada dalam Kabinet pada ketika itu tidak membantah, Terbukti DAP ini cakap tak serupa bikin,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Beliau yang juga Presiden MCA turut menyelar tindakan PH yang mengeksploitasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 688 kilometer demi kepentingan politik.
Katanya, PH sanggup menghentikan projek itu walaupun sudah berjalan 15 peratus semata-mata untuk mengubah laluan dan melalui Negeri Sembilan.
“Perubahan jajaran ECRL itu hanyalah kerana politik. Berita perubahan jajaran tersebut timbul semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau di Negeri Sembilan.
“Ramai yang persoal, kenapa ia diumumkan semasa kempen PRK Rantau,” katanya.
Justeru, kata Ka Siong, pihaknya sedang meneliti semua perkara berkaitan ECRL secara terperinci sebelum membuat keputusan lanjut mengenai jajaran projek itu. -UTUSAN










