Covid-19: Garis panduan solat jemaah ambil kira ijtihad ulama - Utusan Malaysia

Covid-19: Garis panduan solat jemaah ambil kira ijtihad ulama

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Garis panduan berkaitan pelaksanaan ibadah solat berjemaah dalam tempoh penularan wabak Covid-19 diputuskan setelah mengambil kira ijtihad atau pandangan para ulama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, amalan norma baharu itu juga telah dijelaskan dalam buku ‘Soal Jawab Fiqh Covid-19’ yang diterbitkan Jun lalu.

“Contohnya dalam isu sembahyang apabila kita sembahyang kita ada penjarakan. Sebenarnya, ini (tatacara) telah dibahaskan oleh para ulama. Ada perkara-perkara yang kita nampak macam bercanggah tetapi semuanya adalah ijtihad mereka.

“Kita juga ada buku Fiqh Covid-19 yang menjelaskan beberapa isu baharu berkenaan agama yang diambil daripada Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri serta antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Nadwah Penyelarasan Sekretariat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dakwah Islam Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Beliau mengulas video tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pendakwah terkenal mempersoalkan amalan norma baharu di negara ini.

Dalam video berdurasi dua minit itu, pendakwah tersebut mendakwa amalan norma baharu ketika penularan pandemik Covid-19 melibatkan tatacara pelaksanaan ibadat sehingga bercanggah dengan Islam harus dilihat semula.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, segala keputusan yang diambil kerajaan dalam memutuskan sesuatu perkara itu setelah melihat kepada keperluan semasa.

“Kerajaan juga pasti melihat pelbagai sudut (dalam menetapkan norma baharu) berpandukan kaedah-kaedah fiqh yang menyebut bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (keperluan umum semasa),” ujar beliau. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya