Boleh mohon kuarantin pada Nadma - Utusan Malaysia

Boleh mohon kuarantin pada Nadma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang mempunyai masalah menjalani tempoh kuarantin di rumah boleh memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk berbuat demikian di institut latihan ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan memberi pertimbangan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan, kemurungan atau penyakit lain seperti kanser untuk ditempatkan di pusat kuarantin tersebut.

“Isunya adalah kepada individu yang disahkan negatif, tidak bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19. Kementerian menasihatkan mereka supaya menjalani kawalan kendiri dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kalau tiada ruang yang sesuai seperti bilik sempit di rumah, mereka perlu memohon kepada Nadma dan kita akan pertimbangkan untuk dikuarantin di pusat kuarantin yang disediakan,” katanya dalam laporan harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham baru-baru ini memaklumkan individu baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) serta dipakai gelang kuarantin sehingga 10 Oktober depan.

Mengenai kepatuhan SOP sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau berkata, pihaknya memerlukan tempoh dua minggu bagi mengeluarkan laporan penuh tentang perjalanan kempen serta aktiviti yang berlangsung sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, berdasarkan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Chini dan Slim, tiada kluster baharu berlaku sepanjang tempoh PRK tersebut sekali gus menunjukkan individu yang terlibat mematuhi SOP pencegahan penularan Covid-19.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan mengenai perkhidmatan Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh PRN Sabah. Apa yang penting kita sudah menjalankan aktiviti pencegahan, mengetatkan kawalan sempadan serta pengesanan kontak rapat sebab itu kita dapat mengesan kes baharu setiap hari.

“Kita akan tahu laporan lengkap dalam dua minggu dan daripada laporan itu mungkin kita akan memberikan penambahbaikan tentang cara berkempen. Sekarang ini, isunya adalah ketidakpatuhan terhadap SOP yang ditetapkan, perlu diingatkan bukan mereka yang berkempen sahaja perlu patuh, petugas kesihatan dan barisan hadapan juga perlu mematuhi SOP masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.