KUALA LANGAT: Seramai 19 lelaki yang sedang asyik bermain judi taisai dan laga ayam dalam ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Banting ditahan dalam serbuan sepasukan anggota polis di sini hari ini.
Perbuatan suspek berusia 20 hingga 50an itu terbongkar apabila anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu kawasan tersebut pukul 1.15 tengah hari ini.
Difahamkan, nilai pertaruhan bagi laga ayam bermula RM1,000 hingga RM 6,000 manakala judi jenis Taisai serendah RM5 hingga RM100.
Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, siasatan awal mendapati ladang kelapa sawit itu dijadikan sebagai markas perjudian sejak tiga bulan lalu.
“Acara haram itu dianjurkan seorang lelaki dengan waktu operasinya bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.
“Semua kaki judi itu datang dari sekitar Jenjarom, Klang, Shah Alam dan Tanjong Malim, Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek termasuk sembilan warga Indonesia itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
“Kita turut merampas 22 ekor ayam, empat pisau taji, tiga dadu dan masing-masing satu tikar pertaruhan judi taisai, mangkuk dadu dan alat penimbang selain wang tunai berjumlah RM17,735.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11(1) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE