KUALA TERENGGANU: Tidak sanggup melihat seekor kucing jalanan menanggung kesakitan akibat mata kail tercucuk pada pipi, seorang wanita nekad menyelamatkan haiwan itu semalam.
Aieza Safura Ismail, 25, berkata, dia mengambil masa hampir sejam untuk mencari dan menangkap kucing malang yang dikatakan berkeliaran di sekitar muka Kuala Tanjung di sini.
Kata, kerja-kerja menangkap mengambil masa kerana haiwan itu menyorok di celahan batu.
“Saya mengetahui tentang kejadian yang menimpa kucing malang ini daripada seorang rakan yang berkongsi satu hantaran dalam laman Facebook beberapa hari lalu.
“Kerana kekangan masa saya tidak sempat untuk menyelamatkannya segera dan sehingga semalam saya dapati nasibnya masih sama, jadi saya nekad ke lokasi kejadian bersama kakak untuk mencari kucing itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Aieza Safura, selepas berjaya ditangkap kucing itu kemudian dibawa ke rumah sebelum dihantar ke klinik haiwan di Kuala Nerus pada hari ini untuk rawatan lanjut.
Dia yang juga Ketua Negeri Terengganu Persatuan Haiwan Malaysia memberitahu, haiwan yang dinamakan King itu akan menjadi kucing peliharaan terbaharunya bersama-sama 20 kucing lain di rumah.
“Buat masa ini King masih ditempatkan di klinik berkenaan bagi rawatan mencabut mata kail dan dimandulkan.
“Semasa dijumpai saya dapati bahagian pipi kirinya yang tercucuk mata kail sudah bernanah dan berkemungkinan kejadian itu sudah berlaku sejak seminggu lalu,” katanya.
Menurut Aieza Safura, kawasan sekitar muka kuala itu merupakan lokasi popular bagi aktiviti memancing sekali gus tidak menolak kemungkinan kucing berkenaan terkena sisa mata kail yang ditinggalkan pemancing.
Sehubungan itu, dia berharap para pemancing lebih bertanggungjawab dengan tidak meninggalkan sisa alatan memancing merata-rata yang boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada orang ramai malah haiwan.