Sindiket judi 'online' kaut untung RM1 juta sebulan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket judi ‘online’ kaut untung RM1 juta sebulan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian di negeri ini yang dipercayai mengaut keuntungan mencecah RM1 juta sebulan selepas menahan sembilan lelaki dalam beberapa serbuan di Daerah Seberang Perai Tengah di sini bulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, tangkapan ke atas dalang sindiket bersama lapan lagi ahlinya yang berusia antara 19 tahun hingga 29 tahun itu dijalankan dalam operasi Op Dadu Limau Manis, selama lima hari bermula 25 Julai lepas.

Menurutnya, operasi yang dilakukan di empat lokasi di kawasan Bukit Mertajam itu melibatkan tiga kondomium mewah dan sebuah premis perniagaan.

“Hasil risikan polis, kita berjaya membongkar aktiviti sindiket ini yang dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan mensasarkan pelanggan dari wilayah Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

“Kumpulan sindiket yang berselindung di kondominium mewah ini didapati mampu mengaut keuntungan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sehari manakala anggaran sebulan adalah RM900,000 hingga RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Jelasnya, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah pelbagai peralatan elektronik yang digunakan bagi tujuan pengiklanan judi dalam talian serta set komputer untuk proses transaksi.

Antaranya, kata beliau, lima unit komputer riba pelbagai jenama, 16 unit telefon bimbit, dua kotak mengandungi lapan bungkusan kad prabayar dan dua keping kad akses kondominium.

“Hasil siasatan lanjut, sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menghantar sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) berkaitan iklan perjudian kepada nombor pelanggan secara rawak melalui telefon.

“Siasatan juga menemukan sebanyak 16 akaun pelbagai transaksi bank yang digunakan oleh sindiket. Aliran tunai berjumlah ribuan ringgit itu telahpun dibekukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman,” ujarnya.

Sahabudin berkata, polis sehingga kini sedang mengesan tiga lagi individu yang masih bebas bagi membantu siasatan kes tersebut iaitu Lea Shea Li, 27; Tan Khoon Ping, 27, dan Tan Kok Keong, 34 tahun.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a), 4(1)(b),4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala ahli kumpulan terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya