KUALA LUMPUR: Keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menyertai pakatan politik Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO dan Pas disifatkan sebagai langkah terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara tiga parti politik Melayu terbesar di negara ini.
Ia sekali gus memantapkan persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Hoo Ke Ping berkata, penyertaan Bersatu dalam MN memberi petunjuk gabungan itu mempunyai peluang cerah memenangi kerusi seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Bagus sekali. Ini penting kerana ia satu bentuk penyatuan politik Melayu. Dalam pilihan raya MN akan menang.
“Era gabungan politik ini akan menjadi kuat dan dominan dalam kalangan bangsa Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Ke Ping berkata, beliau tidak menafikan bahawa kesepakatan yang terjalin antara tiga parti itu akan menjejaskan struktur dan kekuatan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 kerana MN akan menjadi pesaing politik yang hebat.
“PH akan kalah sama ada dari segi perebutan kerusi, pemilihan logo parti yang digunakan dan personaliti kerana itu semua sudah pecah (tidak ada kesepakatan). Dalam PH ada DAP, PKR dan Amanah dan tak semestinya Anwar Ibrahim (PKR) menyokong Lim Guan Eng (DAP),” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain turut berpendapat, kemasukan Bersatu di dalam MN akan mengukuhkan sokongan orang Melayu.

“Ahli UMNO terdiri lebih kurang 3.8 juta ahli dan Pas ada hampir dua juta ahli manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga ramai jadi saya tidak nampak wujud masalah.
“Kalau betul-betul bermuafakat dan berjanji menyokong (satu sama lain) akan ada satu kestabilan politik,” katanya.
Prof. Dr. Jayum Jawan Empaling pula berkata, untuk menang dalam pilihan raya akan datang, Bersatu tidak boleh bergerak secara solo dan memerlukan kerjasama parti lain untuk mengekalkan kedudukan.

Beliau menolak dakwaan bahawa keputusan Bersatu menyertai MN bertujuan untuk menguatkan partinya agar menjadi dominan berbanding parti komponen lain dalam gabungan itu.
“Itu bergantung kepada bagaimana mereka bersetuju siapa yang bertanding di kawasan mana, berapa kerusi yang diperoleh kerana jumlah agihan kerusi yang banyak itu yang menampakkan parti itu lebih kuat,” katanya.











