fbpx

11 April 2021, 3:17 pm

  TERKINI

Pengusaha Musang King Raub dapat perintah penggantungan notis

PEKEBUN durian mengadakan demonstrasi aman di Sungai Ruan pada 25 Ogos bagi membantah tindakan pengambilalihan pengurusan ladang durian mereka di Raub, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 111 pekebun durian di Raub hari ini dapat perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun di daerah itu.

Peguam mewakili semua pekebun itu, Siew Choon Jern berkata, keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz.

Ujar beliau, keputusan dibuat selepas mahkamah mendengar hujah permohonan dan wakil responden berhubung tuntutan itu.

“Mahkamah tiada bantahan dan membenarkan penggantungan notis pengosongan tanah oleh kerajaan negeri sehingga tarikh pendengaran semula yang ditetapkan pada 28 Oktober depan.

“Pekebun durian Raub boleh kembali menjalankan kerja harian mereka di kebun selepas mendapat perintah ini,” ujar beliau dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung perkembangan isu ketegasan kerajaan negeri ini dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian Musang King di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri.

Tindakan tegas bermula 1 Ogos lalu itu dilakukan berikutan kerajaan negeri ini mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram tersebut termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Choon Jern berkata, sejak notis itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang, para pekebun berkenaan tidak lagi memasuki kawasan dusun terlibat.

Sehubungan itu, katanya, pekebun terlibat pada Jumaat minggu lalu memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, Kerajaan Negeri Pahang, Perbadanan Pertanian Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian PKPP Resources Sdn. Bhd. sebagai responden.

“Jika ditawarkan situasi menang-menang, saya percaya mereka (pekebun) juga sudi untuk berbincang tetapi mereka berasa tertekan kerana notis berkenaan terlalu pantas iaitu perlu mengosongkan tanah dalam 30 hari.

“Mereka telah lama mengusahakan tanah itu. Ada (pekebun) yang mula (mengusahakan dusun durian) sejak 1961. Sebelum ini mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah, tetapi telah ditolak dengan alasan hutan simpan,” katanya.