ALOR SETAR: Sebuah jawatankuasa khas mewakili kira-kira 200 penduduk yang terjejas berikutan Kluster Sivagangga akan memfailkan saman terhadap pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh, Nezar Mohamed Sabur Batcha di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini esok.
Mereka memfailkan saman itu bagi menuntut kerugian yang dialami selepas pemilik restoran yang berusia 57 tahun itu didakwa mencetuskan Kluster Sivagangga di Napoh dan negeri-negeri lain.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerusi jawatankuasa khas itu akan mewakili penduduk berkenaan bagi proses saman di Mahkamah Sesyen Alor Setar esok, diwakili peguam daripada Zunun & Co.
“Proses memfailkan saman itu terbahagi kepada empat kategori iaitu membabitkan peniaga, pembantu kedai, penduduk dan pesakit serta suspek Covid-19,” katanya di sini malam ini.
Mohamad Yusrizal memberitahu, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mengenal pasti pesakit dan suspek Covid-19 yang mahu memfailkan saman tersebut.
Pada 14 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku salah atas empat pertuduhan tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah yang dikenakan terhadapnya, Julai lalu.
Nezar Mohamed mengaku bersalah di hadapan Majistret Hadi Hakimi Harun selepas pertuduhan tersebut dibacakan di pekarangan sebuah wad di Hospital Alor Setar di sini.
Majistret menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak mulai 14 Ogos lalu.