fbpx

Kepulangan Zahiruddin masih ditunggu

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi
  • Oleh Nuraina Hanis Binti Abd Halim
  • 1 Ogos 2020, 10:08 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra sejak 14 bulan lalu terus misteri kerana dalam tempoh itu tiada sebarang petunjuk mengenai kanak-kanak berkenaan.

Polis belum menutup kes mangsa yang ketika kejadian berusia lapan tahun manakala pihak keluarga pula masih berharap untuk mengetahui nasib anak mereka.

Bapanya, Mohd. Fauzi Abd. Ghaffar, 46, berkata, dia dan keluarganya terus buntu memikirkan nasib anak bongsu daripada lima beradik itu kerana tidak menemui apa-apa petunjuk mengenai keberadaan atau nasib Zahiruddin.

Bagaimanapun, Mohd. Fauzi berkata, dia sekeluarga tidak patah semangat untuk terus mencari Zahiruddin melalui pelbagai kaedah termasuk perubatan tradisional dan media sosial.

“Selain memuat naik di Facebook, saya juga ada pergi ke beberapa pusat perubatan Islam. Bukanlah saya mahu percaya sepenuhnya, tetapi adakalanya saya macam ternampak kelibat Zahiruddin dalam rumah dan suaranya memanggil ‘abah’.

“Saya berterima kasih apabila ada orang ramai membantu saya menampal poster Zahiruddin di seluruh negara sehingga ke Thailand,” katanya dengan memberitahu dia dan keluarga masih menunggu kepulangan Zahiruddin.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Fauzi, kehilangan Zahiruddin benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya sekeluarga.

Cerita Mohd. Fauzi, kakak-kakak kepada Zahiruddin pula kerap bermimpi mengenai adik mereka seperti melihat Zahiruddin pulang ke rumah selain melihatnya bermain dalam sebuah pondok.

“Abang Zahiruddin juga belum dapat menerima hakikat kehilangan adiknya sehinggakan dia suka berkawan dengan kanak-kanak sebaya Zahiruddin.

“Mujurlah pihak polis sentiasa berhubung dengan kami bagi memberi perkembangan mengenai siasatan kehilangannya selain menyediakan kaunseling,” ujarnya.

Sebelum hilang, Zahiruddin kali terakhir dilihat bermain di padang berhampiran rumahnya seorang diri ketika hujan kerana dia enggan mengikut kawan-kawannya ke kafe siber.

Ibunya, Sainih Sunding, 46, membuat laporan polis selepas anaknya tiada di rumah ketika pulang dari kerja pada pukul 7 petang, 15 April 2019.

Polis melakukan pelbagai usaha mengesan Zahiruddin termasuk menggunakan Unit Pasukan Anjing Pengesan (K9) dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Namun, peliknya tiada sebarang petunjuk mengenai kehilangan Zahiruddin termasuk kemungkinan kanak-kanak itu ditimpa kemalangan seperti jatuh ke dalam longkang besar.

Kejadian tersebut turut dihebahkan melalui laman web Nur Alert. – UTUSAN ONLINE