Gitaris Eddy Malmsteen, kakak maut terkena renjatan elektrik - Utusan Malaysia

Gitaris Eddy Malmsteen, kakak maut terkena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gitaris profesional, Wan Radzie Wan Othman atau lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen, meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berpunca daripada alat pemanas air, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kakak gitaris berusia 30 tahun itu, Wan Nazira turut terbunuh.

Kejadian dipercayai berlaku ketika wanita berusia 32 tahun berkenaan sedang memandikan anaknya sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, adik lelaki mangsa yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan meminta tolong lalu bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik.

Menurutnya, kedua-dua mereka ditemukan terbaring dalam bilik air di dala rumah dekat Batu 11, Jalan Lama Gombak, dekat sini.

“Ada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun turut ditemukan berada di rumah itu dalam keadaan lemah.

“Pihak ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian lelaki dan wanita terbabit yang juga suri rumah dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu namun setakat ini, ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Ahmad Syauqi Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.01 tengah malam, semalam.

Susulan itu, katanya, seramai sembilan anggota menaiki dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, kami mendapati terdapat dua mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita terkena renjatan elektrik, selain seorang kanak-kanak ditemukan dalam keadaan lemah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.