Enam kanak-kanak mati ditinggalkan ibu bapa dalam kereta - Utusan Malaysia

Enam kanak-kanak mati ditinggalkan ibu bapa dalam kereta

SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam kes kematian kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa meninggalkan mereka di dalam kereta direkodkan sejak tahun 2018 sehingga kini.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, rata-rata mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi bekerja atau hadir ke mesyuarat.

“Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.

“Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) berkenaan situasi semasa serta tindak konklusif kementerian dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat perkara itu.

Pada Februari lalu, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan ditemui mati dalam kereta bapanya di tempat letak kereta Kompleks Tun Razak (Komtur), Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.

Mangsa, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ditemui ketika bapanya mahu keluar makan pada pukul 1 petang.

Mengulas lanjut, Siti Zailah menambah, kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada tahun 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 akta berkenaan.

Ujarnya, ia merangkumi penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan ‘atau bertindak secara cuai’.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,00 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” tegasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN