Enam individu ditahan gagal patuhi SOP kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

Enam individu ditahan gagal patuhi SOP kuarantin kendiri

Ismail Sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Enam individu telah diambil tindakan berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin kendiri yang ditetapkan kerajaan sejak 27 Julai sehingga semalam. 

Dalam tempoh lima hari itu, polis juga melakukan 2,271 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Beliau memberitahu, bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

“Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 3,384 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 14 Hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini kawalan pergerakan di sini hari ini. 

Mereka yang telah pulang ke Malaysia dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

Tambah Ismail Sabri, pihaknya berpuas hati kerana jemaah yang menunaikan solat Aidiladha semalam, mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, polis juga telah membuat pemantauan SOP solat Jumaat di 2,294 masjid yang melibatkan 283,355 jemaah.

“Kesemua didapati mengikuti SOP ditetapkan serta mengikut saiz keluasan masjid,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, polis juga menahan 134 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Daripada jumlah itu, seramai 19 individu telah direman manakala 22 individu dijamin.

“Seramai 93 individu pula dikenakan kompaun. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen sebanyak 12 kes, aktiviti yang tidak mengikuti SOP (33 kes), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (88 kes) dan langgar perintah pengawasan sebanyak satu kes,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya