MELAKA: Seorang suri rumah cemas apabila mendapati objek yang disangka kain buruk rupa-rupanya seekor biawak sepanjang lebih dua meter di hadapan rumahnya di Taman Semabok Perdana di sini semalam.
Kejadian disedari Maizatul Syarina Syafie, 39, pada pukul 10.10 pagi ketika pulang dari kedai runcit berhampiran rumahnya.
“Sebaik sahaja membuka pintu pagar rumah, sekali imbas saya ternampak seperti kain jatuh di pagar pintu gelongsor dan menyangka ia terjatuh daripada ampaian.
“Saya terkejut rupa-rupanya ‘kain’ itu seekor biawak besar sepanjang lebih dua meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Maizatul Syarina berkata, dia bernasib baik apabila situasi panik itu disedari jiran yang membantunya menghalau haiwan tersebut.
“Suami tiada di rumah ketika kejadian dan jiran terpaksa mengambil masa lebih 10 minit menghalaunya yang kemudian lari memasuki longkang besar.
“Mujurlah ada jiran membantu, jika tidak mungkin saya terpaksa menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. – UTUSAN










