- Utusan Malaysia

HAKISAN yang berlaku di Pantai Tanjung Dahan, Masjid Tanah., Melaka. - UTUSAN/AIMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Beberapa pinggir pan­tai di negeri ini direkodkan semakin ‘mengecil’ kesan haki­san antara tiga dan empat meter setiap tahun disebabkan faktor alam semula jadi dan kerancakan aktiviti penambakan laut untuk pembangunan berskala tinggi di negeri ini.

Daratan sepanjang lebih 40 kilometer itu terutama di perairan Melaka Barat paling terjejas dan semakin terhakis kesan badai ombak laut dan muka buminya yang terdedah kepada Selat Melaka.

Fenomena itu mengundang kebimbangan kira-kira 300 nelayan yang menangkap ikan di perairan tersebut apabila jeti dan pondok tempat pendaratan ikan di situ hanya menunggu masa untuk ‘lenyap’ ditelan laut.

Ketua Pusat Pencerapan Bumi Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Sr. Dr. Khai­rul Nizam Abdul Maulud berkata, hakisan di kawasan berkenaan bermula dalam skala kecil sejak 35 tahun dahulu melibatkan kawasan Tanjung Panchor sehingga merebak ke Tanjung Kling.

PROF. DR. SR. KHAIRUL NIZAM ABDUL MAULUD

 

Katanya, sejak tahun 2005, pantai di Kampung Hailam, Kampung Portugis, muara Su­ngai Duyung, Tanjung Ketapang, Kampung Sungai Umbai dan Pantai Siring mula mengalami hakisan yang ketara.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati pantai Kampung Tanjung Dahan, Kampung Tengah dan Kampung Hilir di Kuala Sungai Baru; Pantai Pu­teri di Tanjung Kling; Kampung Sungai Kertah di Pengkalan Balak; Kampung Teluk Gong di Kuala Linggi dan Kampung Balik Batu di Tanjung Bidara juga dikesan mengalami hakisan.

Mengulas lanjut, kata Khairul Nizam, kajian pihak­nya menggunakan pemantauan imej satelit sejak 15 tahun dahulu mendapati beberapa kawasan mengalami kadar hakisan me­lebihi tiga meter setahun.

Pantai Melaka jenis berpasir iaitu sifatnya agak lemah untuk menahan ombak terutamanya pada musim tengkujuh.

“Hakisan pantai yang berlaku termasuk di Melaka melibatkan beberapa faktor seperti perubahan iklim, perubahan aras laut serta keadaan pasir di pantai itu.

“Selain itu, aktiviti penambakan pantai yang mengubah mofologi pantai dan pembinaan benteng berstruktur yang me­ngubah arus dan kelajuan ombak juga menyumbang kepada hakisan pantai,” katanya.

Tambah beliau, proses haki­san pantai juga menyebabkan bertambah kawasan daratan.

“Walaupun ada aktiviti meng­adaptasi pantai seperti benteng penahan ombak, benteng kon­krit, groin, lapis lindung, struktur batuan dan kaedah-kaedah lain, ia perlu dilihat secara ke­seluruhan dan kumulatif.

“Ini kerana kaedah tersebut akan mengubah ciri-ciri ombak dan arus, menyebabkan kesan hakisan berlaku di kawasan lain yang dahulunya mungkin tidak berlaku. Impak hakisan pantai bukan sahaja kepada pengecilan kawasan daratan tetapi turut terkesan kepada ekonomi, pe­nempatan, infrastruktur dan pelancongan,” jelasnya.

Justeru, kajian indeks keren­tanan pantai perlu dilakukan ke atas ke­seluruhan pantai bagi melihat daya tahan pantai terhadap tekanan perubahan iklim dan aktiviti pembangunan.

Pembangunan pinggir pantai dirancang harus mengikut garis panduan dan ketetapan Pengurusan Zon Pesisir Pantai Bersepadu, Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan dan Pelan Pengurusan

Pesisiran Pantai Bersepadu supaya feno­mena itu dapat diminimumkan.

“Aktiviti menambak laut perlu dikaji menyeluruh bukan setakat lingkungan lima kilome­ter, tetapi sehingga ke titik sifar impak dan kajian-kajian secara kumulatif perlu dilaksanakan bagi menentukan impak keseluruhan di negeri itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya