BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera selepas cuba menyelamatkan diri daripada disamun seorang lelaki berhampiran depoh kereta api di Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohammad Bapi, 39, ditemukan meninggal dunia di dalam parit sedalam kira-kira 3 meter.
Rakan mangsa, Miah Solaiman, 32, pula cedera selepas dipercayai dipukul dengan objek keras oleh suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang berjalan kaki menuju ke bank untuk menghantar wang kepada keluarga di negara mereka.
“Suspek memukul Miah dengan objek keras sehingga dia terjatuh dan pengsan manakala Mohammad berjaya melarikan diri dengan memanjat pagar stesen kereta api.
“Namun, selepas tersedar dari pengsan, Miah mendapati rakannya itu berada di dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepala berlumuran darah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan polis sedang mengenal pasti suspek.