UPM hasilkan dron daun nanas - Utusan Malaysia

UPM hasilkan dron daun nanas

MOHAMED Thariq Hameed Sultan menunjukkan dron daripada daun nanas di UPM, Serdang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) daripada daun nanas.

Dron yang mempunyai ciri daya rintangan elektrik itu dinamakan Putra UAV dan mampu terbang pada ketinggian sehingga 30 meter serta terapung di udara selama 20 minit.

Penghasilan dron itu turut membabitkan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Malaysia UAV Drone Activist Society (MUDAS).

Ketua kumpulan penyelidik tersebut, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata, rangka dron itu diperbuat daripada daun nanas manakala struktur yang lain pula terdiri daripada motor, bilah dan bateri yang boleh dicaj semula.

Katanya, produk terbaharu itu berbeza dengan kebanyakan dron yang dihasilkan daripada plastik, gentian karbon dan aluminium yang dikategorikan sebagai gentian sintetik.

“Dron yang diperbuat daripada bahan semula jadi atau biokomposit bukan sahaja mempunyai nisbah kekuatan yang tinggi berdasarkan berat berbanding dron gentian sintetik, malah lebih murah dan ringan dengan bahan semula jadinya mudah diperoleh selain konduktiviti elektrik yang rendah.

“Biokomposit juga berpotensi besar menggantikan bahan sedia ada dengan beberapa kelebihan lain seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi yang mudah terurai dan dilupus dalam tanah,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Mohamed Thariq yang juga pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM memberitahu, idea mencipta dron itu tercetus semasa projek komuniti di Teluk Panglima Garang di Selangor, tiga tahun lalu.

Ketika itu katanya, seorang ketua kampung telah meminta UPM membantu melupuskan daun nanas yang sebelum ini hanya dilonggok dan dibiarkan begitu sahaja.

“Dana penyelidikan RM25,000 telah diterima daripada UPM untuk membangunkan ekosistem dengan menghasilkan mesin yang boleh menukarkan daun nanas kepada gentian.

“Sebanyak 300 gram daun nanas dapat menghasilkan empat keping ‘plate’ dron. Penghasilan Putra UAV ini berjaya memanfaatkan penggunaan daun nanas tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya