fbpx

Suami cemburu tetak, tolak isteri masuk longkang

SEPASUKAN polis memeriksa sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau, Jempol, lokasi suami menetak isteri kelmarin.- IHSAN/POLIS
  • Oleh Media Mulia
  • 31 Julai 2020, 9:04 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Gara-gara minta cerai dan dituduh ada lelaki lain, seorang penoreh getah ditetak di leher dan tangan sebelum ditolak jatuh ke longkang.

Kejadian tidak berperikemanusiaan pukul 7.40 pagi berlaku di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd. Khairiel Mohd. Arif berkata, pertengkaran tercetus percayai selepas mangsa berusia 36 tahun meminta cerai dengan suaminya yang berusia 39 tahun.

“Pada 28 Julai lalu, pasangan itu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahau untuk mendaftarkan perceraian.

“Selepas balik ke rumah berlaku pertengkaran kerana si suami tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang mahu bercerai,” kata beliau semalam.

Menurut beliau, pergaduhan berlarutan sehingga pagi kelmarin dengan suspek mengambil parang pendek di belakang rumah sebelum menetak isterinya.

“Selepas isterinya cedera, suspek menolak wanita itu sehingga jatuh ke longkang,” katanya.

Menurut Mohd. Khairiel, pasangan itu telah 18 tahun hidup berkahwin dan mangsa menafikan dia ada kekasih.

“Kejadian disaksikan anak ketiga mereka yang berusia 11 tahun yang kemudiannya meminta bantuan jiran.

“Suspek kemudian memberitahu isterinya mahu ke balai polis dan membawa bersama parang digunakan mencederakan mangsa,” katanya.

Tambah Mohd. Khairiel, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan kini berada dalam keadaan sedar dan stabil.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa luka di leher, tangan kanan dan tangan kiri, patahlengan kanan dan retak pada tangan kiri,” katanya.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

POPULAR