MUAR: Tiga premis termasuk dua rumah musnah di dalam satu kejadian kebakaran di Lorong Aik Hwa 6, Jalan Kebun Sayur, Bakri di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Mohd. Jefri Jamal berkata, dalam kejadian pukul 3.27 pagi itu, dua rumah dan sebuah kedai runcit manakala sebuah kereta dan dua motosikal juga musnah terbakar.
Beliau yang juga komander operasi berkata, kejadian disedari penyewa rumah ketiga-tiga premis ini sebaik melihat api marak di bahagian hadapan.
“Sebanyak lima individu iaitu merupakan ahli keluarga yang menyewa di salah sebuah kediaman ini, manakala sebuah lagi unit pula dihuni oleh seorang warga asing yang turut menjadikan sebuah lagi premis sebagai kedai runcit.
“Punca nyalaan api masih belum dapat dipastikan, namun berdasarkan keterangan mangsa, kebakaran bermula di bahagian hadapan dan kesemua penghuni segera menyelamatkan diri mengikut pintu belakang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd. Jefri, sebanyak 16 anggota bomba bersama empat jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Api marak dengan begitu cepat dan pihaknya bertindak menggunakan sumber air daripada jentera FRT serta pili bomba berhampiran untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi tamat pada pukul 6.30 pagi. Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.