Pembantu perubatan didakwa tumbuk kepala isteri  - Utusan Malaysia

Pembantu perubatan didakwa tumbuk kepala isteri 

TERTUDUH diiringi anggota polis setelah dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,600 selepas didakwa menumbuk kepala isterinya yang juga seorang pegawai perubatan di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pembantu perubatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya, awal Mei lalu. 

Tertuduh, Hafifi Fikri Jamal, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menumbuk kepala isterinya, Nadia Zaharah Azmi, 31, yang juga seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan di sini. 

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7 petang di sebuah rumah di Taman Bertam Indah, di sini pada 6 Mei lalu. 

Difahamkan kejadian itu berpunca daripada salah faham selepas mangsa memanggil seorang juruteknik lelaki membaiki kipas dan lampu di rumah mereka tanpa pengetahuannya. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak mencadangkan sebarang ikat jamin atas faktor keselamatan mangsa. 

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas alasan perlu menjaga dua orang anak mereka yang masih kecil. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,600 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. 

Beliau juga menetapkan tarikh 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN