Najib tidak ke penjara malam ini - Utusan Malaysia

Najib tidak ke penjara malam ini

Najib Mahkamah
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan bermalam di penjara hari ini ekoran berjaya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan menunjukkan keadaan istimewa (special circumstances) yang membolehkan penangguhan tersebut diberikan.

Bagaimanapun, jaminan RM1 juta yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu dinaikkan kepada RM2 juta dan baki wang jamin itu perlu dibayar esok pagi (29 Julai).

Ketika Hakim Mohd. Nazlan menjatuhkan hukuman tersebut, Najib yang merupakan Perdana Menteri negara yang pertama disabitkan atas kesalahan dan bakal merengkok di penjara kelihatan amat sugul.

Beliau dilihat menundukkan kepalanya sepanjang hakim memberikan keputusan berhubung hukuman.

“Bagi kesalahan salah guna kedudukan, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Gagal bayar denda, hukuman penjara boleh ditambah lagi lima tahun.

“Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagi pertuduhan pengubahan wang haram (tiga pertuduhan), tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara diarahkan berjalan secara serentak,” ujar hakim tersebut.

Terdahulu, Hakim terbabit membacakan alasan penghakiman ringkasnya selama dua jam 33 minit yang bermula pada pukul 10.20 pagi.

Prosiding kemudian ditangguhkan ke pukul 2 petang ekoran pihak pembelaan ingin memohon agar prosiding rayuan ditangguhkan ke Isnin hadapan bagi membolehkannya menyediakan rayuan yang lengkap.

Permohonan terbabit bagaimanapun ditolak.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika mengemukakan rayuan, peguam itu menyatakan kesalahan sebenar anak guamnya ialah terlalu teramat mempercayai orang dan sanggup dipersalahkan kerana kepercayaannya itu.

Selepas pihak-pihak berhujah berhubung penangguhan rayuan berhubung hukuman, Najib diberi peluang untuk membuat rayuannya sendiri dari kandang tertuduh.

“Merujuk kepada sembilan tahun saya menjadi Perdana Menteri, ekonomi negara telah berkembang pesat selama tempoh itu dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus apda 2017. Sepanjang tempoh itu juga, pasaran saham turut meningkat sehingga mencecah 1900 mata di Bursa Saham Kuala Lumpur yang mana pada tempoh ini juga terdapat peningkatan yang rancak dalam infrastruktur negara termasuk pengangkutan dan perumahan awam.

“Saya juga telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mana saya tidak pernah diberikan kredit mengenainya. Wallahi Wabillahi Watallahi, saya tidak pernah meminta RM42 juta, saya tidak merancang atau ditawarkan RM42 juta dan tiada bukti atau saksi yang mengatakan begitu. Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan. Wallahi Wabillahi Watallahi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.