PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak melebihi 10 ekor haiwan bagi masjid dan surau di lokasi yang dibenarkan pejabat agama daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Keputusan ini dibuat setelah kerajaan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dengan mengambil kira risiko penularan semula jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had yang ditetapkan itu juga adalah tertakluk kepada keluasan lokasi korban.
“Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan ibadah korban dilakukan di pusat penyembelihan di bawah jabatan perkhidmatan veterinar iaitu sebanyak 28 buah. Manakala di bawah jabatan swasta terdapat 31 buah pusat penyembelihan yang dilesenkan.
“Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan. Jamuan makan di tapak korban adalah tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus,” katanya dalam laporan harian perkembangan Covid-19 di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa akan menyemak semula dari segi pemantauan semua lokasi penyembelihan termasuk masjid, surau dan kawasan di bawah PBT.
Katanya, waktu ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama empat hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha, selepas solat sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.
“Bagaimanapun, mengambil kira Hari Raya Aidiladha jatuh pada Jumaat, ibadah korban digalakkan dilakukan pada hari kedua dan dua hari Tasyrik.
“Bagi jamuan di rumah, tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa. Individu yang masih dalam proses kuarantin kendiri dilarang sama sekali keluar rumah apatah lagi pulang ke kampung ataupun menunaikan solat sunat Aidiladha malah tidak boleh menerima tetamu,” ujarnya.
Tegas Ismail Sabri, orang ramai diminta melaporkan kepada polis jika ada individu memakai gelang tangan (wristband) kuarantin melanggar peraturan yang ditetapkan.
“SOP ini adalah untuk Wilayah Persekutuan dan boleh diguna pakai oleh majlis agama negeri-negeri sebagai rujukan,” tegasnya. – UTUSAN