Jangan biarkan Covid-19 kembali - Utusan Malaysia

Jangan biarkan Covid-19 kembali

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ancaman Covid-19 kepada Malaysia kini kembali apabila rakyat dilihat semakin  alpa dan bersikap sambil lewa dengan arahan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan sebelum ini. 

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, rakyat Malaysia tidak mampu menghadapi gelombang kedua Covid-19 kerana impaknya pasti lebih besar dan teruk daripada gelombang pertama.

“Kita semua tahu bagaimana gelombang pertama telah mempengaruhi kehidupan setiap warganegara sejak tiga ke empat bulan lalu.

“Dengan sikap tidak kisah ini, kita berada dalam keadaan bahaya dengan membiarkan Covid-19 merosakkan hidup kita pada skala yang belum dapat dilihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu Covid-19 dan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau turut memberikan amaran bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin perlu dilaksanakan semula jika angka jangkitan Covid-19 dalam negara terus meningkat.

Mengulas lanjut, Lam Thye mengingatkan rakyat Malaysia tentang kejayaan Malaysia mengawal penularan Covid-19 yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan rekod itu bakal lebur jika rakyat terus leka dan tidak patuh pada SOP yang ditetapkan.

“Masih terdapat rakyat Malaysia yang nampaknya alpa atau tidak mengendahkan arahan untuk memakai topeng setiap kali mereka berada di khalayak ramai atau di tempat sesak. Ada yang kelihatan dengan topeng muka di leher mereka, bukan di muka mereka.

“Semua SOP telah ditetapkan dengan alasan yang kukuh dan SOP ini mesti dipatuhi .Tidak boleh ada kompromi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN