USAHA Superintenden Kamarudin Hashim atau Kenny dan Sarjan Detektif Abu Bakar Jalil cuba menjejaki Ah Chiu di Batu Pahat, Johor telah masuk hari keempat.

Hari pertama tidak berjaya kerana motosikal yang dinaiki pegawai dan anggota Pasukan F itu tiba-tiba rosak. Ah Chiu yang baru keluar dari sebuah kedai kopi di Jalan Md. Akil menyedari dirinya diekori dan terus memecut menuju ke Senggarang serta menghilang selama dua hari.
Jadi, mereka berdua yang menaiki sebuah motosikal perlu mengesan Ah Chiu hingga berjumpa dan segera menghapuskannya seperti yang diarahkan pihak atasan.
Ini kerana Ah Chiu merupakan anggota skuad pembunuh pergerakan bawah tanah komunis Malayan National Liberation Front (MNLF) yang telah menembak mati dua anggota Cawangan Khas masing-masing seorang berpangkat Sarjan Detektif di Bandar Melaka, Melaka pada penghujung 1978 dan Koperal Detektif di Kluang, Johor pada 1979 serta cuba membunuh beberapa orang lagi detektif pasukan itu di Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.
Lelaki berbadan sederhana dan berwajah serius itu amat berbahaya kerana sering membawa pistol dan bom tangan ke mana sahaja walaupun semasa makan di warung Bak Kut Teh.
Misi utama Ah Chiu yang pernah menjadi tentera komunis di hutan ialah membunuh detektif Cawangan Khas yang ditugaskan memburu MNLF di bandar dan luar bandar.
Selepas melakukan pembunuhan di Melaka dan Kluang, Ah Chiu bersembunyi di Johor Bahru dan bagi menghentikan siri pembunuhan detektif cawangan Khas ini, Pasukan F telah diarahkan untuk menjejak serta menghapuskan Ah Chiu yang licik dan sering menyamar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kamarudin yang ditugaskan mengetuai operasi tersebut yang dinamakan Operasi Batu Pahat, sebelum itu pernah bertembung dengan Ah Chiu tetapi hanya memerhatikan pergerakan untuk menjejak lokasi persembunyian pengganas itu.
Kebetulan Batu Pahat adalah kampung halaman Kamarudin jadi mudah baginya untuk mengekori Ah Chiu yang bersembunyi di sebuah rumah flat di Batu Pahat.
Akhirnya mereka mendapat maklumat yang Ah Chiu telah muncul semula di kawasan flat tersebut. Seawal pukul 5 pagi keesokan harinya, Kamarudin dan Abu Bakar yang menaiki sebuah motosikal telah menunggu di tempat persembunyian Ah Chiu.
Kira-kira pukul 6.30 pagi, Ah Chiu dilihat keluar dari bangunan flat dengan menaiki motosikal. Dia kemudian membuat dua pusingan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada siapa mengekorinya dan terus menuju ke pasar besar Batu Pahat melalui Jalan Enggan dipercayai untuk berjumpa dengan anggota MNLF.
Kamarudin dan Abu Bakar yang mengekori Ah Chiu terus memintas motosikalnya.
Pengganas komunis itu dengan pantas berhenti dan cuba mengambil pistol di pinggangnya namun Kamarudin yang membonceng telah bersedia dengan senjata dan terus melepaskan dua das tembakan ke arah Ah Chiu.
Ah Chiu yang terjatuh masih menggenggam kemas pistolnya dan cuba menembak Kamarudin ketika pegawai polis itu menghampirinya.
Kamarudin terpaksa melepas dua das tembakan lagi bagi mempertahankan diri dan kali ini Ah Chiu terus tidak bergerak.
Pemeriksaan di poket seluar pengganas itu menemukan sebutir bom tangan. Mujur Ah Chiu tidak sempat menggunakan bom tangan tersebut. Jika tidak pasti Kamarudin dan Abu Bakar akan mati bersama Ah Chiu.
Kejadian itu mengejutkan orang ramai namun mereka menyangka berlaku pergaduhan antara kumpulan gengster hingga menyebabkan kematian.
Beberapa orang kampung yang ternampak Kamarudin semasa kejadian, kecoh bercerita mengenainya dan bertanya kepada keluarga pegawai Pasukan F itu namun dia hanya buat tidak tahu kerana operasi tersebut terpaksa dirahsiakan dan tidak dihebahkan kepada media.
Kejayaan menghapuskan Ah Chiu juga merupakan isyarat keras kepada skuad pembunuh MNLF bahawa pasukan polis dan Cawangan Khas serius untuk bertindak.
Jika MNLF membunuh atau cuba mencederakan anggota polis, pasukan polis juga akan bertindak balas membunuh mereka. – UTUSAN ONLINE











