BUKIT MERTAJAM 2 Sept. – Sebuah kilang memproses kelapa di Jalan Kampung Tok Elong di sini musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu melibatkan sebuah kilang berkeluasan kira-kira 929 meter persegi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kita dapati kebakaran telah berlaku sebanyak 80 peratus.
“Bagaimanapun, api berjaya dikawal pukul 3.53 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, operasi memadamkan kebakaran itu melibatkan seramai 14 anggota dan penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti dan Bukit Mertajam.
Tambahnya, kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kejadian serta jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE











