“SAYA terpaksa ambil cuti segera esok dan balik kampung. Bayi saya yang baru berusia beberapa bulan kelihatan seperti sesak nafas dan tidak selesa dek penangan jerebu yang melanda.”
Tersentak saya seketika menerima mesej daripada seorang kakitangan pejabat. Nampaknya bencana jerebu yang melanda negara sudah mula mengancam nyawa. Lantas saya teringat amaran Allah kepada kita betapa musibah kerakusan segelintir dubuk manusia boleh mengancam orang lain
Firman Allah ertinya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) bukan sahaja akan menimpa orang zalim dalam kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal :25)
Barangkali setelah anak mereka sendiri semput tidak bernafas barulah para pembakar hutan atau pemilik syarikat yang melakukan jenayah bakar hutan itu akan insaf.
Apa boleh buat! Itulah mentaliti kebanyakan manusia yang jahil lagi rakus. Selagi batu yang dilontarkan pada orang lain tidak memantul mencederakan hidung sendiri, batu itu hanya satu takdir yang perlu diterima dengan sabar oleh orang lain.
Ketika jerebu melanda, jangan kita lihat ia sekadar bencana kebakaran hutan, sebaliknya lihatlah dalam skala lebih besar seperti bencana kekurangan stok oksigen dunia dan kemusnahan ekosistem bumi.
Syukur Allah masih bekalkan oksigen kepada kita secara percuma dengan wujudnya rimbunan pokok dalam hutan. Apa jadi jika Allah tarik nikmat oksigen percuma ini lalu kita terpaksa membayar bil oksigen kerana kilang pemprosesannya habis dimusnahkan manusia yang rakus!
Bicara sahaja perihal ekosistem bumi mengingatkan saya kepada sejarah banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s.. Ketika bahtera baginda mahu belayar, Allah arahkan baginda menyelamatkan manusia dan berbagai spesies haiwan: Firman Allah ertinya: “(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut keluar dari bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua daripada setiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang beriman…” (Hud :40)
Allah mengarahkan Nabi Nuh menyelamatkan spesies haiwan dalam peristiwa banjir itu demi menjamin kelangsungan hidup manusia, kestabilan ekosistem bumi dan kesinambungan rantaian makanan makhluk bumi selepas banjir.
Hutan pula Allah tumbuhkan sebagai habitat semua stok makanan manusia itu. Malangnya stor stok oksigen dan makanan alam ini turut menjadi korban manusia.
KERAKUSAN MANUSIA
Ternyata bencana jerebu yang menyesakkan nafas membungkam dada ini membenarkan firman Allah ini:
Ertinya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (al-Rum :41)
Perhatikan mesej yang disampaikan Allah pada hujung ayat di atas – “…Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Apa maksudnya? Tidak lain Allah mahu kita sedar dan kembali ke pangkal jalan! Allah mahu kita berubah, mengubah dan bertindak! Jangan hanya mengulang ayat ini setiap kali berlaku bencana jerebu tanpa langkah tegas menghentikan bencana.
Penulis cadangkan agar kita ambil dua langkah bertindak segera bagi menangani masalah jerebu yang seakan tiada noktah.
1 Kuat kuasa undang-undang
Ada sesetengah manusia tidak faham bahasa diplomasi dan rundingan. Oleh itu, mereka perlu disebat dengan rotan undang-undang untuk mengawal kenakalan serta kerakusan tindakan mereka.
- Firman Allah ertinya: “Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (beriman dan penguatkuasaan undang-undang) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.” (al-Baqarah :251
- Penguatkuasaan undang-undang berkesan untuk menghentikan bencana yang mampu dihalang ini. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah mengekang perangai jahat Yahudi Madinah.
- Setelah memegang tampuk pemerintahan Madinah, baginda menyusun piagam atau undang-undang Madinah. Undang-undang ini diterima orang Yahudi kerana ia menjamin kebebasan mereka beragama dengan syarat mereka perlu bersama menjaga keselamatan Madinah daripada ancaman luar.
- Setelah mereka belot dan bergabung dengan musuh luar untuk menjatuhkan Madinah dalam Perang Khandak, mekanisme undang-undang sangat berkesan bagi menghukum mereka. Lantas Madinah tenang dengan ketiadaan mereka.
2 Penyuburan ilmu
Malaysia dan Indonesia tidak kurang saintis atau ilmuwan yang mampu menghasilkan pelbagai kajian berguna untuk alam. Pihak kerajaan sewajibnya menyokong usaha kajian ilmiah mencari solusi mengatasi masalah pelupusan hutan dengan cara lebih selamat dan mesra alam kerana ia terangkum dalam firman Allah ini:
- Ertinya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan setiap sesuatu?” (Fussilat :53)
Ayuh segera bertindak! Kita adalah khalifah Allah di bumi. Jawatan ini bukanlah slogan kosong yang menjadi pengisian ceramah agama tetapi suatu tanggungjawab perlu ditunaikan.
Allah akan soal kita semua apa yang sudah kita lakukan untuk menjaga amanah alam yang diberi secara percuma tanpa mengira jawatan dan profesion kita.









