KUANTAN 19 Sept. – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus mempertahankan institusi pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin biarpun terdapat pandangan sejak kebelakangan ini yang mempertikaikannya.
Timbalan Ketua Pengarah Jakoa, Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata, institusi Tok Batin adalah pentadbiran sesebuah kampung berbentuk hierarki yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi dengan pelantikan dibuat melalui keturunan atau secara adat.
“Sejak kebelakangan ini, terdapat pandangan daripada segelintir pihak yang cuba mempertikai peranan Tok Batin dan mereka mahu pemilihan dibuat secara demokrasi.
“Kita (Jakoa) akan terus mempertahankan adat masyarakat Orang Asli itu dan kita tidak mahu sesuatu yang digarapkan daripada adat dipertikai jika tiada asasnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Program Peningkatan Profesionalisme Pemimpin Masyarakat Orang Asli Pahang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Jakoa negeri, Johari Alwi.
Seramai 200 orang Tok Batin dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Orang Asli dari seluruh negeri ini hadir pada program berkenaan.
Saiful Zahlan berkata, tidak dinafikan terdapat sesetengah Tok Batin taraf pendidikan mereka rendah dan itu tidak boleh dijadikan sebab untuk mempertikan lantikan mereka.
“Oleh sebab itu kita dia Jakoa mengadakan pelbagai program antaranya Program Peningkatan Profesionalisme Pemimpin Masyarakat Orang Asli hari ini untuk meningkatkan profesionalisme Tok Batin di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











