IPOH 23 Sept. – Jurulatih Selangor, B. Sathianathan tidak gusar dengan kekalahan 0-1 pasukannya kepada Perak dalam perlawanan aksi suku akhir pertama Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, kekalahan itu bukan penamat kepada peluang Selangor untuk meneruskan kemaraan sebaliknya percaya defisit satu gol itu boleh diatasi pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam 29 September ini.
Sehubungan itu, beliau mengajak penyokong Selangor ke Stadium Shah Alam pada aksi suku akhir kedua nanti bagi memberi sokongan untuk meningkatkan semangat para pemain.
Katanya, sokongan penyokong ditagih apatah lagi Selangor mencatat tiga keputusan seri dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.
“Penyokong tak kritik tapi yang di Facebook mengkritik. Tak pernah tengok muka mereka pun di stadium.
“Kalau penyokong betul-betul datang ini akan memberi kelebihan kepada pemain cuma tak ramai yang turun, tapi komen dalam Facebook sampai 225,000.
“Itu yang saya pening, kadang-kadang orang tak tengok game, dia komen saja, sampai budak umur 12 tahun pun pandai kritik. Bila saya panggil takut nak angkat telefon pun ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di sini semalam.
Pada perlawanan semalam, gol tunggal skuad The Bos Gaurus dijaringkan pemain kebangsaan, Brendan Gan pada minit ke-13.
Sathianathan yakin pasukannya akan menampilkan kelainan pada aksi di laman sendiri dalam perlawanan suku akhir kedua nanti berbanding aksi yang ditampilkan di Stadium Perak semalam.
Menurutnya, pada perlawanan semalam, beberapa pemain tonggak Selangor beraksi dalam keadaan kecederaan seperti Abdul Halim Saari dan Mohd Syazwan Zainon.
Katanya, malah pasukannya juga beraksi tanpa Sandro Da Silva juga akibat masalah kecederaan.
“Saya harap kecederaan yang dialami oleh tiga pemain ini akan pulih sebelum perlawanan suku akhir kedua,” katanya.
– UTUSAN ONLINE











