Apabila Pas datangi PWTC... - Utusan Malaysia

Apabila Pas datangi PWTC…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEINGAT sesiapa pun PWTC yang menjadi venue majlis-majlis besar UMNO tidak pernah didatangi orang Pas.

Samalah juga suatu ketika markas Tarbiyyah Pas di Taman Melewar, Gombak. Kalau ada kelibat pemimpin atau orang UMNO ke sana, maknanya sudah beralih arahlah si empunya diri.

ALLAHYARHAM Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad dan Allahyarham Datuk Nik
ALLAHYARHAM Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara pemimpin-pemimpin Pas yang disegani umat Islam di negara ini.  Di sebelah kanan ialah Presiden Pas sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Media-media arus perdana yang saban tahun membuat liputan muktamar Pas di markas itu sekitar tahun-tahun 90-an sering juga dilontarkan ‘seloroh dan jenaka nakal’ oleh sebilangan perwakilan Pas. Kadang-kadang kami pihak media dan mereka tergelak sama.

Bila muslimin dan muslimat Pas masuk PWTC esok dengan ceramah timbalan presiden kedua-dua parti pada sebelah malamnya dan kemuncak majlis pemasyhuran Piagam UMNO-Pas tengah hari lusa, ia bermakna parti yang memperjuangkan Islam itu sudah fikir habis. Iaitu memuktamadkan pendiriannya untuk bekerjasama dengan parti yang berdekad-dekad menjadi saingan sengit politiknya.

PERJUANGAN ONAK BERDURI

Realitinya perjuangan Pas untuk mencapai ke tahapnya hari ini bukan mudah.

Dari kemunculan sejak 23 Ogos 1951 sehingga berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini, sejarah Pas penuh onak berduri.

Penyertaan Pas dalam pilihan raya 1959 biarpun hanya menang 13 kerusi parlimen daripada 104 yang dipertandingkan, telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai.

Sejurus selepas pilihan raya, perpecahan berlaku dalam kerajaan Pas di Terengganu dan ia jatuh, diganti dengan kerajaan Perikatan.

Pada 1964 dan 1969, prestasi Pas merosot dengan memperoleh hanya sembilan kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969. Selepas rusuhan kaum 1969, Pas menyertai Barisan Nasional (BN) dan memenangi 14 kerusi.

Perpecahan berlaku dalam Pas dan parti itu keluar BN. Pada 1978, 1982 dan 1986, prestasi Pas menjunam semula. Ia mendapat lima kerusi pada 1978, lima kerusi pada 1982 dan hanya satu kerusi pada 1986.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Melayu Semangat 46, Pas berpakatan dengannya. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995, Pas memenangi tujuh kerusi setiap PRU.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasil kerjasama dalam Barisan Alternatif (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 pada 1999. Pada 2004, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi.

Kemudian pada 2008 dan 2013, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Namun rekod Pas dalam PRU-14, 9 Mei tahun lalu membuktikan dengan bersendirian pun, pencapaian Pas di luar dugaan dengan meraih 18 kerusi Parlimen – merampas kembali Terengganu selain mengekalkan penguasaan Kelantan.

Kesepakatan Pas dengan UMNO hari ini seperti menyambung kembali pembentukan kerajaan campurannya dengan BN pada 1970-an.

Pas yang secara rasmi menyertai gabungan Parti Perikatan pada 1 Januari 1973, buat pertama kalinya menyertai pilihan raya umum pada 1974 tanpa menggunakan simbolnya sendiri iaitu bulan bintang.

“Kemunculan sulung BN dalam Pilihan Raya Umum 1974 dikatakan paling hebat kerana dua parti pembangkang yang kuat ketika itu, iaitu Pas dan Gerakan menjadi parti komponen BN. Selain itu, masalah melibatkan perebutan kerusi antara parti gabungan untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lagi timbul kerana ketokohan Tun Razak dalam merancang dan menyusun strategi.

“Strategi Tun Razak yang menjalin hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi Cina. Selain itu Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada pengaruh pengundi-pengundi Melayu dan sokongan ini secara tidak langsung berjaya menguatkan sokongan parti pemerintah, iaitu BN” (Syed Arabi Idid 2011: 39).

Keputusan pilihan raya umum tersebut menunjukkan BN memenangi 135 kerusi parlimen termasuk 47 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding. Parti pembangkang yang kuat ketika itu, DAP hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen.

Kemenangan lebih daripada dua pertiga yang dikecapi oleh BN pada PRU 1974 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak ternyata bukan sahaja telah meyakinkan kerajaan bahawa formula kerjasama secara besar-besaran terbukti berjaya malah resipi itu amat menguntungkan semua kaum.

Meskipun ada ‘lukanya’ selepas kesepakatan itu, baik Pas mahupun UMNO barangkali kini tidak mahu lagi mengulangi apa yang diungkapkan peribahasa Inggeris History repeats itself.

Cuma yang agak berbeza dari 1974, kesepakatan Pas hari ini dijalin ketika UMNO bukan lagi parti pemerintah.

IKTIBAR

Waima apa pun, yang lebih penting, penyatuan bangsa Melayu itu dalam politik, seterusnya, Insya-Allah menjadikan rumpun bangsa itu lebih kuat dan disegani bangsa-bangsa lain. Seterusnya memberi impak kestabilan untuk keharmonian kaum, politik dan ekonomi.

Pesanan Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) tentang perangai buruk yang jauh dari sifat rahmah yang harus ditolak oleh bangsa harus dijadikan iktibar untuk semua yang ‘berkampung’ di PWTC dua hari ini.

Ini pesanan/peringatan arwah buat orang Melayu:

Beriman di mulut 
hati berlumut.
Beriman di lidah 
hati menyalah.
Lidah bercabang langkah menyilang.
Tamak harta 
mabuk dunia.
Lupa bangsa 
lupa akhirat.

Kemaruk puji 
lupa diri.
Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut 
ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu 
ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu 
ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong.
Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.
Berguru dengan nafsu.
Beraja pada selera.
Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helah 
cacat mencacat.
Sesama keluarga 
laga melaga.
Sesama kawan 
makan memakan.
Sesama sahabat 
sebat menyebat.
Sesama bangsa 
paksa memaksa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×