GEORGE TOWN – Hampir seluruh kawasan di negeri ini dilaporkan dilanda angin kencang dan hujan lebat sebentar tadi.
Kejadian yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam itu mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang di kawasan sekitar George Town, Balik Pulau dan Seberang Perai.
Beberapa kenderaan serta premis kediaman dan perniagaan rosak apabila dihempap pokok tumbang selain bumbung dan khemah diterbangkan angin.
Berita berkaitan:
Difahamkan sebahagian bumbung Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dekat sini turut rosak diterbangkan angin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, sekurang-kurangnya lima mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dekat sini setakat pukul 11.30 malam kerana kecederaan akibat kejadian tersebut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Terdahulu, kejadian sama turut dilaporkan melanda Kedah dan Perlis kira-kira pukul 8 malam.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir di Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar di Perak dan daerah Tumpat, Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah di Kelantan sehingga pukul 2 pagi. – K! ONLINE











