SINGAPURA 8 Ogos – Singapura akan merangsang ekonominya sekiranya perlu dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
“Tahun ini, ekonomi kita merudum. Permintaan global dan perdagangan antarabangsa telah merosot. Ia menjejaskan sektor perkilangan, khususnya sektor elektronik, yang kini mengalami kelembapan di seluruh dunia. Namun, sektor-sektor lain ekonomi kita masih mencatatkan prestasi yang baik.
“Kita pernah mengalami kelembapan yang serupa sebelum ini maka kita akan menghadapi kelembapan kali ini dengan tenang. Jika perlu langkah-langkah merangsang ekonomi kita, kita akan melaksanakannya.” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2019, hari ini.
Berita berkaitan:
Jelas Perdana Menteri Singapura, dunia semakin bergelora dengan cabaran-cabaran yang besar.
“Kita berdepan cabaran getir. Pertama, keadaan ekonomi yang tidak menentu, dengan perdagangan global dalam keadaan tertekan. Kedua, dengan pergeseran yang kian meningkat antara kuasa-kuasa besar. Ketiga, dengan pemanasan global yang akan meningkatkan paras air laut – menjejas kewujudan kita,” katanya.
Hsien Loong memberi amaran bahawa Singapura tidak akan terlepas daripada masalah-masalah global ini.
“Dari segi ekonomi, kesemua ini akan menjejas rangkaian bekalan, mengubah corak perdagangan dan pelaburan. Kita mesti mempersiapkan diri kita untuk menghadapi masa hadapan yang sangat mencabar,” katanya.
“Namun, masa silam kita memberi kita iktibar dan keyakinan. Sepanjang sejarah kita, kita bangkit dan mengatasi cabaran dan kesukaran.
“Setiap kali dunia berubah kita mencipta semula dan memperbaharui ekonomi kita. Justeru, rakyat kita kembali berkembang maju. Begitu juga bandar Singapura,” kata Perdana Menteri Singapura itu dengan penuh keyakinan.
Singapura meraikan Hari Kebangsaannya pada 9 Ogos dan tahun ini negara itu merayakan ulang tahunnya yang ke-200.
Atas undangan Hsien Loong, rakan sejawatannya dari Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju untuk menghadiri Perarakan Hari Kebangsaan Ulang Tahun Ke-200 republik itu yang diadakan di Padang esok.
Dr. Mahathir akan diiringi isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, dan para pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri serta Wisma Putra.
Majlis itu juga akan dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Perarakan Hari Kebangsaan 2019 itu merupakan acara bersejarah bagi meraikan ulang tahun ke-200 ketibaan Stamford Raffles ke Singapura. – BERNAMA











