Saling merujuk, bukan berbalah - Utusan Malaysia

Saling merujuk, bukan berbalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA sudah jadi? Kemelut tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga M) kini bertukar menjadi perbalahan dan pertikaman lidah antara dua organisasi yang menaungi pemain dan sukan bola sepak tanah air.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) membuat pendedahan terdapat beberapa pasukan Liga M masih mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM6.4 juta sekali gus menuntut pelbagai pihak menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Kemudiannya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengeluarkan kenyataan balas membidas dakwaan PFAM yang disifatkan tidak bertanggungjawab kerana sama sekali tidak membantu situasi bahkan menjadikannya semakin teruk dengan memfitnah pihak tidak bersalah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibarat berbalas pantun, PFAM sekali lagi mengeluarkan kenyataan menyatakan rasa terkejut dengan tin­dakan Stuart yang menyelar kenyataan persatuan tersebut dengan menegaskan bahawa mereka mempunyai bukti berhubung tunggakan gaji pemain Liga M berjumlah RM6.4 juta.

Pada penulis, bukan soal ada bukti atau siapa yang betul dan salah dalam hal ini kerana kedua-dua entiti tersebut sudah pastinya mahu melihat kebajikan pemain terbela dan pada masa sama berusaha keras ke arah meningkatkan mutu bola sepak negara.

Tidak dinafikan bahawa niat PFAM mendedahkan isu tunggakan gaji bagi membela kebajikan pemain itu sungguh murni kerana semua pemain profesional di Malaysia bernaung di bawah persatuan tersebut.

Jika pemain tidak dibayar gaji, mereka akan menerima khidmat nasihat serta bantuan daripada PFAM bagi memastikan masalah berkenaan diselesaikan secara baik antara pemain dan pasukan masing-masing.

Masih gagal diselesaikan di peringkat pemain dan pa­sukan, maka hal itu perlu dilaporkan kepada badan induk bola sepak negara untuk tindakan seterusnya dan kedua-dua entiti (PFAM dan FAM) harus saling merujuk bagi mengatasi isu berkenaan.

Dalam erti kata lain, ada saluran, etika serta kerjasama bagi mengatasi masalah pemain dan pasukan mengikut prosedur ditetapkan selain kedua-dua entiti tersebut juga harus seiring agar maklumat yang diketengahkan tidak menjadi perbalahan.

Pada penulis, kedua-dua organisasi terbabit yang se­ring berbalas hujah ketika ini tidak ubah mempertaruhkan kredibiliti masing-masing di mata umum dan pasti­nya situasi itu diikuti secara dekat oleh peminat-peminat bola sepak tanah air.

Seharusnya situasi itu tidak perlu berlaku kerana para peminat akan menilai kebolehpercayaan terhadap ke­dua-dua entiti bola sepak negara ini yang akhirnya menjejaskan reputasi masing-masing.

Apa yang berlaku sekarang, pihak sebelah sini dakwa maklumat begini dan sebelah pihak lagi mengatakan maklumat macam ini. Masing-masing mengemukakan bukti seolah-olah mahu menunjukkan siapa benar-benar berada pada pihak yang betul.

Akhirnya, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu dan lebih malang situasi tersebut diambil kesem­patan oleh pihak lain yang suka menangguk di air keruh.

Disebabkan isu RM6.4 juta itu, maka berlaku perga­duhan dan persengketaan antara dua entiti penting bola sepak negara sedangkan niat asal mahu membela kebajikan pemain selain berusaha meningkatkan martabat sukan No. 1 tanah air.

Dikhuatiri nanti, usaha murni membela kebajikan tidak kesampaian sebaliknya yang menanggung natijahnya pemain.

Justeru, tidak perlu lagi berbalas hujah sebaliknya kedua-dua entiti bola sepak negara ini harus bermuhasabah dan duduk semeja mencari titik persamaan dalam mengatasi masalah bersama. Jangan biarkan situasi gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×