KUALA LUMPUR 23 Ogos – Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia memasang azam memperbaiki pencapaian berbanding edisi lalu dengan menyasarkan pingat emas dalam Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Dunia Masterships di Chungju, Korea Selatan pada 29 Ogos hingga 7 September ini.
Pada edisi sulung yang berlangsung di Cheongju pada 2016, Malaysia membawa pulang pingat perak menerusi kategori duo, Arifabillah Idris-Shahril Mohd. Shah, sekali gus mampu menjadi pemangkin untuk mereka memburu podium pertama.
Berita berkaitan:
Arifabillah yang juga jurulatih Pusaka Hanafi berkata, dia yakin skuadnya mampu menghadiahkan pingat setelah membuat persediaan rapi selama lebih enam bulan menjelang kejohanan tersebut, yang disertai lebih 100 buah negara.
“Tiga tahun lalu kami berjaya meraih pingat perak dan saya percaya dengan latihan yang kami lakukan mampu membawa pulang pingat dalam semua kategori yang kami sertai.
“Kita akui saingan di sana nanti pasti sengit kerana pada tahun ini lebih 100 negara sertai kejohanan ini. Jadi tumpuan kita mahu melepasi setiap saringan perlawanan.
“Kita juga perlu berhati-hati kerana pasukan dari Asia Tenggara juga antara yang terbaik seperti Singapura, Brunei mahupun Indonesia,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), semalam.
Skuad Pusaka Hanafi akan menyertai lima kategori iaitu perseorangan tangan kosong (lelaki), berpasangan tangan kosong (wanita), berseorangan bersenjata (lelaki), berpasangan bersenjata (wanita) dan berkumpulan dalam kejohanan tiga tahun sekali itu, yang bakal menyajikan aksi seni bela diri dari seluruh dunia.
Sementara itu, artis terkenal, Vanidah Imran yang turut menyertai saingan kejohanan bertaraf dunia itu menerusi acara berkumpulan mengakui agak gementar biarpun ia kali kedua penyertaannya ke sana.
“Sudah pasti perasaan gementar itu ada kerana ini melibatkan penyertaan di peringkat dunia, tetapi saya percaya dengan persiapan yang kami lakukan mampu membuahkan hasil terbaik di sana nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











