KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan warga Nepal cedera selepas pondok pengawal di sebuah kondominium di Danau Kota di sini dibaling botol berisi minyak dipercayai molotov cocktail, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.41 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak bersama lapan anggota telah dikejarkan ke lokasi sebaik dimaklumkan tentang kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati pondok keselamatan berkenaan sedang dijilat api sebelum melakukan tindakan pemadaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pemeriksaan yang dilakukan mendapati kejadian berpunca daripada perbuatan khianat individu tertentu yang membaling botol berisi minyak dipercayai molotov cocktail ke arah pondok keselamatan itu.
“Terdapat seorang mangsa lelaki warga Nepal yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pondok itu melecur 10 peratus di bahagian tangan dan belakang badan.
“Mangsa tersebut telah diberi rawatan awal oleh pasukan paramedik yang berada di lokasi dan kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya sedia maklum tentang kejadian dan siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan. – K! ONLINE











