NHDP bakal dilaksanakan secara menyeluruh - Utusan Malaysia

NHDP bakal dilaksanakan secara menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) bakal dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan semua negeri bermula Januari tahun hadapan, kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata, NHDP bakal melibatkan pemain muda di bawah umur 12, 14 dan 16 tahun, selain barisan guru terpilih di sekolah dan jurulatih di semua negeri yang akan diberi tunjuk ajar mengenai DNA hoki yang perlu diterapkan kepada pemain pelapis negara.

“Kita telah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai pelaksanaan program itu. Pelan terperinci mengenai pelaksanaan program itu dijangka diumumkan Oktober ini. Program ini dijangka dilaksanakan tahun depan untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Klinik Hoki Pembangunan MHC yang berlangsung di Bukit Jalil, hari ini yang turut disertai lebih 40 pemain terpilih dari seluruh negera melibatkan usia 13 tahun ke bawah.

Dilihat seakan mirip Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Subahan bagaimanapun berkata, NHDP tidak akan mempunyai akademi bola sepak seperti NFDP yang terletak di Gambang, Pahang.

“Buat masa ini kita inginkan budak-budak datang belajar, diajar kemudian mereka balik ke rumah. Tapi kita akan kumpulkan mereka mungkin dalam dua bulan sekali, tiga bulan sekali. Jika ada pemain kita nampak ada bakat menyerlah, kita akan kumpulkan mereka dalam satu pemukiman di mana kita akan bagi pendedahan sewajarnya,” tambahnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×