KUALA LUMPUR – Sebanyak 69 laporan telah diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian bendera diterbalikkan yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka dan kes berkenaan masih di dalam siasatan.
“Kesemua kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada pejabat peguam negara dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
“Siasatan berhubung isu ini dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Hamid, sejak kebelakangan ini, banyak isu-isu sensitif yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di pelbagai platform komunikasi dan laman sosial.
Jelas beliau, pihaknya turut menerima sebanyak 515 laporan polis berkait isu melibatkan pendakwah antarabangsa Zakir Naik.
“Kes berkenaan kini sedang di dalam siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Dr. Zakir Naik dan beberapa saksi yang berkaitan juga telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan juga sudah hampir dilengkapkan agar dapat dirujuk kepada pejabat peguam negara dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut memaklumkan bahawa sebanyak 24 laporan polis turut diterima membabitkan isu tulisan khat atau Jawi.
“Siasatan berhubung kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya.
Abdul Hamid menegaskan, PDRM memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memainkan isu-isu sensitif yang boleh memecahkan keamanan dan ketenteraman awam.
“Pihak polis akan mengambil tindakan sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang ke atas mana-mana penganjur dan peserta perhimpunan yang bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya. – K! ONLINE











