Keganasan seks: Askar niat bunuh Rohingya - Utusan Malaysia

Keganasan seks: Askar niat bunuh Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 23 Ogos – Keganasan seksual askar Myanmar terhadap etnik Muslim Ro­hingya sangat berleluasa dan teruk yang menggambarkan niat mereka untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Straits Times melaporkan, perkara itu didedahkan menerusi laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mendakwa tindakan tentera Myanmar tersebut boleh didakwa atas kesalahan jenayah perang dan kemanusiaan.

Kumpulan Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas PBB di Myanmar mendapati, askar negara itu ‘sering dan secara sistematik merogol, rogol beramai-ramai serta bentuk keganasan lain dan tindakan seksual secara paksaan terhadap wanita, kanak-kanak perempuan dan lelaki, lelaki dewasa serta golongan transgender sehingga melanggar undang-undang hak asasi antarabangsa.’

Laporan kumpulan itu berhubung keganasan seksual dan jantina turut meliputi etnik minoriti Kachin dan Shan di utara negara berkenaan serta masyarakat Rohingya di barat Myanmar.

Laporan yang dikeluarkan di New York itu mendakwa, tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum wanita Rohingya dengan mengakibatkan fizikal dan mental mereka terjejas teruk.

Tentera juga se­ngaja membiarkan wanita dan remaja perempuan Rohingya hidup dalam kesengsaraan bagi tujuan memusnahkan ke­semua masyarakat Rohingya dan mengenakan langkah menghalang kelahiran baharu dalam etnik terbabit.

Laporan baharu itu turut menyatakan keganasan seksual yang dilakukan oleh kumpulan gerila bersenjata di utara Myanmar, meskipun ia dilakukan pada tahap lebih rendah.

“Keganasan seksual adalah hasil daripada masalah yang lebih besar mengenai ketidaksamaan jantina dan kurang­nya pindaan undang-undang,” kata laporan berkenaan.

Myanmar berada pada kedudukan 148 daripada 189 negara berhubung ketidaksamaan jantina menerusi senarai dikeluarkan oleh PBB, sekali gus menunjukkan keganasan seksual dan diskriminasi jantina sering berlaku di negara itu.

Laporan baharu itu juga mengecam kegagalan Myanmar untuk membawa si pesalah ke muka pengadilan.

Kerajaan dan tentera Myanmar sebelum ini berulang kali menafikan mereka melakukan tindakan sedemikian dan menegaskan operasi ketenteraan di Rakhine adalah tindak balas terhadap serangan oleh kumpulan pemberontak Rohingya.

Dalam laporan sebelum ini, PBB menemukan tindakan kekejaman besar-besaran di Rakhine sejak 2016, terma­suklah pembunuhan beramai-ramai serta membakar kampung-kampung dan negeri Kachin serta Shan turut me­ngalami nasib serupa.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 700,000 pela­rian Rohingya di Bangladesh enggan dihantar pulang ke Myanmar selagi mereka tidak diberi jaminan keselamatan dan kerakyatan yang sah.

“Tidak ada seorang Ro­hingya mahu pulang tanpa tuntutan mereka dipenuhi,” kata Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Abul Kalam kepada wartawan. – AGENSI

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata kerajaannya tidak akan memaksa pelarian untuk pulang ke Myanmar dan proses penghantaran pulang itu hanya berlaku sekiranya mereka mahu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN