MUNICH, Jerman 5 Ogos – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa bagi memenuhi matlamat Tentera Darat Malaysia (TDM) segenap peringkat di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) hendaklah sentiasa berusaha keras untuk terus mengekalkan peranan dan tugasnya iaitu ‘To raise, Train and Maintain’.
“Ini memerlukan komitmen jitu dari semua bagi merealisasikan hasrat ini.
“Dalam usaha memperkasakan Rejimen Askar Wataniah juga, lebih banyak usaha dan promosi yang dipelbagaikan hendaklah dilaksanakan.
“Rejimen Askar Wataniah juga amat mengalu-alukan dan memerlukan lebih ramai penyertaan belia dan beliawanis dari agensi kerajaan dan swasta ke dalam pasukannya termasuklah IPTA dan IPTS setempat,” titah baginda.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam yang diraikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RUAG Ammotec, Christoph Eisenhardt di Hotel Mandarin Oriental Munich, Jerman malam semalam.
Berangkat sama ialah anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Presiden Kanan (Pertahanan dan Penguatkuasaan Undang-Undang) RUAG Ammotec, Martin Neujahr.
Baginda turut menambah bahawa bagi memastikan pasukan simpanan ini kekal relevan, latihan yang merupakan perkara penting perlu diperkasakan sejajar dengan tahun latihan dan penjajaran Tentera Darat Malaysia. Ia turut melibatkan Rejimen Askar Wataniah sebagai salah satu elemen penting Tentera Darat dalam mengekalkan peranan dan fungsi utamanya.
Buat masa ini, aktiviti promosi dan pelaksanaan latihan dilihat membawa impak yang besar dalam usaha membangunkan kekuatan sumber manusia yang pada masa yang sama akan mampu mengekalkan perkhidmatan anggota Rejimen Askar Wataniah di setiap pasukan yang dianggotainya.
Dalam masa yang sama, peranan yang sewajarnya dalam memantapkan mutu pengurusan di pasukan masing-masing seperti yang melibatkan aktiviti-aktiviti latihan Rejimen Askar Wataniah juga mestilah dilaksanakan secara kreatif dan inovatif agar pasukan ini kekal menjadi badan sukarela nombor satu pilihan rakyat.











