Air, manusia berpisah tiada - Utusan Malaysia

Air, manusia berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datangnya membawa rahmat
Adanya memberi seribu nikmat
Tiadanya menyebabkan kegusaran yang amat.

Itulah air iaitu satu komponen utama dalam sistem kitaran air dunia atau disebut sebagai kitar hidrologi.

Demikian kata-kata seorang pakar hidrologi tempatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, proses yang dianggap paling kuno dalam menggerakkan evolusi kehidupan manusia di muka bumi, kitar hidrologi iaitu komponen utamanya adalah air telah mengalami pelbagai perubahan bentuk dan sifat.

Namun kata beliau, kepentingan air kepada ekosistem kehidupan tidak boleh disangkal.

Realitinya, air dan manusia merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan.

Untuk hidup misalnya, manusia memerlukan air untuk minum manakala sekitar 70 peratus tubuh manusia terdiri daripada air.

Manusia juga bergantung kepada air dalam melaksanakan keperluan asas lain seperti membasuh, mandi dan menggerakkan kegiatan ekonomi melalui pengairan, penjanaan kuasa eletrik hidro dan pengangkutan.

Menurut Mohd. Ekwan, manusia silam dipercayai adalah semi akuatik kerana kecenderungannya untuk tinggal berhampiran air.

Ini terbukti apabila banyak tamadun lama yang terkenal ditemukan di sepanjang sungai.

Sebagai contoh Tamadun Sumerian di sepanjang Sungai Tigris, Tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil dan Tamadun Indus-India di sepanjang Sungai Indus.

Tamadun tersebut berpusat di pinggir pantai atau di tebing-tebing sungai yang berfungsi sebagai medium pengangkutan, sumber protein serta lokasi yang strategik bagi pertahanan dan navigasi.

Walaupun diketahui bahawa sumber air yang utama adalah daripada hujan, namun tidak semua air hujan dapat digunakan oleh manusia, tumbuhan dan haiwan. Misalnya, ada sebahagian air hujan akan meresap terus ke dalam tanah atau disejat kembali sebelum sempat digunakan. Keadaan ini menyebabkan kadang-kala dalam beberapa bulan atau tahun, berlaku ketidakseimbangan air di sesuatu kawasan. Lebihan dan kekurangan air inilah yang menjadi fokus kepada pengkajian imbangan air.

Kata Mohd. Ekhwan, turutan alur dan sungai juga membantu dalam mengkaji perilaku banjir.Banjir kilat biasanya berlaku di kawasan lembangan yang mempunyai nombor kekasaran atau ruggedness yang lebih besar dan ia menunjukkan kepadatan saliran yang lebih tinggi dengan cerun dan kecerunan saliran yang kurang curam.

Oleh itu, banjir boleh berlaku di kawasan lembangan saliran yang mempunyai turutan tinggi khususnya di hilir sungai.

Kata beliau lagi, dengan menggunakan teknologi satelit, penderiaan jauh dan peta topografi berlainan tahun membuktikan bahawa sebahagian alur sungai di bahagian likuan telah bermigrasi akibat daripada proses hakisan dan pemendapan.

“Keadaan ini menyebabkan kawasan yang dimendap bertukar menjadi daratan kekal.

“Perubahan arah sungai membentuk ketakstabilan arus sehingga membentuk lubang periuk yang besar di dasar sungai. Akhirnya misteri selama berpuluh tahun semenjak kampung Lubuk Pusing dibuka pada 1914 telah terungkai dengan pemahaman mengenai perubahan morfologi dan kedinamikan sungai.

“Menariknya semasa kajian dilaksanakan, saya menemukan secara tidak sengaja satu morfologi sungai yang cukup menarik untuk diselidik.

“ Pembentukan kalimah jelas terbentuk melalui imej satelit di kawasan berhampiran. Sehingga hari ini, saya masih tidak berpeluang untuk membuat kajian lebih lanjut bagaimana formasi ini terbentuk di bahagian dasar sungai yang kering,’’ ujarnya lagi.

Namun penelitian menerusi satelit jelas menunjukkan ia antara jaringan sungai-sungai purba selepas perubahan migrasi sungai terbentuk.

Formasi dasar sungai yang dihakis secara semula jadi membentuk formasi kalimah berkenaan yang mungkin telah terbentuk selama beberapa ratus tahun.

Sehinggalah ia secara kebetulan ditemukan semasa beliau mengkaji fenomena pembentukan lubuk pusing. Tiada seorangpun masyarakat asal di kampung berkenaan yang sedar pembentukan formasi berkenaan.

Manusia kata beliau, mempertaruhkan kehidupan masa hadapan dengan kebergantungan kepada sumber air utama iaitu air sungai.

Realitinya, 97 peratus sumber air adalah berpunca daripada sungai.

Di punca, semasa air berada di alur, air sungai begitu bersih dan tidak tercemar.

Seiring dengan perubahan ruang dan masa, juzuk air berubah daripada bersih kepada tercemar dengan pelbagai sebab. Dengan sumber air yang semakin terhad, masalah pencemaran air menjadi masalah utama di semua negara.

“Saya menjangka, pertelingkahan antara manusia dan antara negara pada masa hadapan adalah antaranya berpunca daripada perebutan sumber air.

Ini kerana keperluan terhadap air bersih terutama di kawasan metropolitan amat bergantung pada sumber air yang diperoleh dari sungai sebagai sumber utama. Walaupun tidak sampai kepada tahap bertelingkah, isu perjanjian air Malaysia dan Singapura misalnya tetap menjadi topik hangat sejak sekian lama antara dua negara berjiran ini.

Kerajaan konsisten agar terma perjanjian ini dikaji semula walaupun telah dimenterai dahulu.

“Saya yakin jika ada persefahaman, tidak mustahil perjanjian yang tidak adil ini dapat memberi manfaat atau situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

GAMBAR fail menunjukkan seramai 70 anak-anak muda kampung Long Puak bersama sukarelawan bersama-sama

Sungai sebagai penempatan awal

Sebelum membicarakan mengenai topik ini dengan lebih mendalam, kita melihat sejenak peranan sungai sejak dahulu. Ini kerana keupayaan saliran masa kini adalah kesan daripada dasar dan tindakan masa lampau. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia dipengaruhi oleh lokasinya yang strategik di samping topografi daratan yang mudah dibangunkan.

Hal ini bermakna, lebih banyak kawasan daratan yang boleh diteroka bagi membangunkan bandar yang moden dan terancang.

Jika ditakrifkan bandar sebagai pembangunan negara, kupasan rencana sebegini telah dibukukan oleh ramai pengkaji. Antaranya termasuk buku Sungai dan Pembangunan Tebingan Sungai Bandar Malaysia oleh Sulong Muhamad dan Mohd. Ekhwan pada 2005.

Buku ini jelas memperkatakan hubungan antara penapakan bandar dengan sungai. Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan nama bandar di Malaysia bermula dengan kuala seperti Kuala Lumpur, Kuala Lipis, Kuala Terengganu, Kuala Pilah, Kuala Kangsar dan lain-lain.

Semua bandar ini menunjukkan letakan sama ada di muara sungai atau di sepanjang pesisir sungai. Adaptasi masyarakat terhadap sungai merupakan faktor kelangsungan hidup masyarakat hingga membentuk komuniti bandar yang kompleks.

Walaupun diketahui akan adanya bahaya banjir dan sumber air yang mungkin tercemar, masyarakat tetap memilih sisi sungai sebagai kawasan penempatan kerana sungai menyediakan keperluan domestik, sumber rezeki (iaitu dengan bercucuk tanam dan menangkap ikan) dan sistem pengangkutan utama kepada penduduk di sekitarnya.

Penubuhan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) (sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Parit dan Tali Air) pada September 1932 banyak membantu pengurusan sungai secara tersusun. Hal ini termasuk penyediaan pelan pengurusan sungai dan kawalan banjir serta penetapan garis panduan dan peraturan.

Namun, ia bukanlah penyelesaian bagi banyak masalah sungai terutama dari aspek pembangunan tebing sungai, penerokaan rizab sungai secara haram dan pencemaran air. Reka bentuk taman perumahan yang diluluskan dan dibangunkan kerap kali melibatkan pembinaan rumah yang membelakangkan alur dan sungai.

Akibatnya, banyak sungai yang mengalir melalui kawasan bandar diancam oleh masalah pencemaran air, kawasan buangan sampah, masalah hakisan dan pemendapan. Sebagai contoh di Sungai Klang, jumlah sampah yang diangkut daripada perangkap sampah.

Keupayaan sungai menerima beban pencemar telah dikaji secara serius oleh beberapa penyelidik Makmal Alami Tasik Chini yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Penyelidik, Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Fakulti Sains dan Teknologi antara lokasi yang mempunyai sistem cerapan kualiti air atas talian dan masa sebenar paling lengkap di Malaysia.

Dengan keluasan lembangan kira-kira 5.3 kilometer persegi, Tasik Chini yang pertama seumpamanya berstatus Tapak Rezab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Ia dilengkapi dengan tujuh sistem cerapan kualiti air dan data hidrologi lain yang berfungsi mencerap data daripada sungai-sungai pembekal dan dihantar terus ke makmal eko-hidrologi, Pusat Sosial, Persekitaran dan Pembangunan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Sebagai antara perintis awal melaksanakan kajian hidrologi dan peragaan kualiti air di Tasik Chini, hampir semua sungai pembekal dan badan tasik telah dikaji bersama pasukan Penyelidik PPTC.

Beberapa kajian telah dijalankan di Sungai Gumum dan Sungai Melai, Tasik Chini untuk mengenal pasti taburan saiz butiran dan kepekatan sedimen, peragaan dua dimensi hidrodinamik.

i -WARNER dibangunkan untuk meramal banjir.
i -WARNER dibangunkan untuk meramal banjir.

Meramal kebarangkalian banjir

Ibarat peribahasa `sekali air bah, sekali pantai berubah’ menunjukkan betapa hebatnya kuasa air banjir atau banjir besar.

Perkaitan di antara fenomena banjir dengan kuantiti air sungai sentiasa diperdebatkan oleh ramai ahli hidrologi sekitaran.

Secara umum, banjir ialah apa-apa sahaja lebihan air yang mengalir dan melimpah keluar daripada alurnya atau daripada takat normalnya.

Dalam konteks ini termasuk juga sungai atau zon pesisir pantai apabila berlaku air pasang besar atau perbani. Lazimnya ia dikaitkan dengan jumlah keamatan hujan yang tinggi.

Tidak seperti kejadian bencana alam yang lain seperti tsunami, gempa bumi, letusan gunung berapi dan lain-lain, banjir terutama banjir monsun boleh diramal kebarangkalian kejadiannya. Mohd. Ekhwan berkata, perlaku banjir boleh diramal.

Namun, kebarangkalian kejadian banjir memerlukan beberapa syarat antaranya rekod siri masa kejadian banjir dan data hidrologi dan kaedah yang sistematik.

Lazimnya banjir pada kala kembali setiap sekali dalam masa 100 tahun digunakan sebagai anggaran kadar bagi mereka bentuk struktur mitigasi banjir.

Oleh itu, data bagi tempoh 100 tahun digunakan bagi meramal kekuatan banjir. Namun, agak sukar memperoleh data banjir bagi tempoh 100 tahun.

Oleh itu, kebanyakan data bagi tempoh yang lama diperoleh menerusi kaedah ekstrapolasi menggunakan analisis kekerapan.

“Saya membincangkan isu banjir sudah lama sama ada dalam media eletronik, akhbar, buku dan jurnal. “Tapi apapun banjir tetap berlaku, kita tidak boleh mengelak, tetapi bagaimana untuk beradaptasi dan mengurangkan risiko banjir daripada berlaku,” katanya.

bencana banjir

Banjir merupakan fenomena alam yang diklasifikasikan sebagai bencana alam paling utama sering berlaku di Malaysia dan banyak dibicarakan. Kajian JPS bertajuk National Register of River Basin pada 2013 mendapati 19 peratus daripada keluasan Malaysia merupakan kawasan mudah berlaku banjir dengan hampir 4.9 juta penduduk dianggarkan terjejas akibatnya.

Episod banjir besar yang melanda Malaysia khususnya di Pantai Timur telah mengubah landskap fizikal kawasan yang terlibat.

Skala kekuatan banjir mega yang dianggarkan melebihi sekali dalam tempoh 100 tahun ternyata tidak mampu ditampung bagi mana-mana skim tebatan banjir di Malaysia yang agak ampuh dalam menangani situasi bencana sebegini.

Seperti yang dicatatkan di Stesen Hujan Gua Musang, taburan hujan tertinggi sebanyak 1,295 mm telah dicerap selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 21, 22 dan 23 Disember 2014.

Ini bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari dan merupakan rekod terbaharu jumlah curahan hujan di Malaysia

Persoalannya ialah sejauh mana Malaysia dalam suasana ketidaktentuan iklim dan cuaca mampu berhadapan dengan bencana banjir. Sebagai sebuah negara maritim, magnitud banjir yang boleh mencapai tahap bencana semakin kerap direkodkan semenjak 20 tahun kebelakangan ini.

Jika dahulu kejadian banjir bagi kala kembali sekali dalam tempoh 50 tahun adalah amat sukar terjadi, tetapi kini hampir setiap tahun negara berhadapan dengan fenomena banjir bermagnitud besar.

“Saya berpeluang memperoleh pengalaman pengurusan, peragaan dan reka bentuk banjir yang tidak ternilai semasa ditugaskan di Pantai Timur khususnya di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu.

“Hampir setiap tahun, Terengganu dan Kelantan dilanda banjir terutama pada musim tengkujuh yang menyebabkan masyarakatnya sudah beradaptasi dengan bencana banjir.

“Saya dan penyelidik Institut Penyelidikan Pantai Timur (ESERI), UniSZA berpeluang menjalankan kajian peragaan banjir mega di Terenganu dan Kelantan melalui peruntukan khas geran pembangunan UniSZA 2014 bagi mereka bentuk kolam takungan banjir dengan kos sebanyak RM4 juta di Kelantan melalui geran khas Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan Malaysia-KPM). Ia disalurkan melalui Sistem Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sebagai sebahagian daripada maklumat dalam kertas kabinet bagi tindakan pengurusan banjir di Malaysia,” katanya.

Sistem dwifungsi ini, telah siap sepenuhnya pada 2015 bukan sahaja mampu mengawal air banjir yang melanda persekitaran kampus dan penduduk di kawasan sekitar, malah juga bakal menjadi mercu tanda sebagai pusat kawasan rekreasi berasaskan air bagi mesyarakat kampus dan penduduk sekitarnya.

Reka bentuk saliran menggunakan kaedah swale ternyata memberi impak yang besar kepada keupayaan saliran terutama pada musim banjir.

Dengan menggunakan kaedah ini, rumput ditanam di bahagian tebingan saliran bagi menggantikan sistem saliran berkonkrit dan diselang dengan empangan pengendali bagi mengurangkan had laju aliran banjir.

Kaedah ini sangat sesuai dan kelihatan seperti semulajadi.

Selaras dengan konsep pengurusan banjir bersepadu, ia juga dilengkapi dengan sistem penyampaian maklumat awal banjir di bawah program penyelidikan pintar I-Warner.

Sistem amaran banjir ini merupakan stesen cuaca mini bagi mengawasi data cuaca seperti hujan, suhu dan aras air.

Apa yang menarik, sistem ini berupaya memberikan maklumat pantas secara atas talian kepada mesyarakat sekeliling melalui telefon pintar masing-masing.

Dengan cara ini, masyarakat terutama pelajar dapat mengetahui dengan lebih tepat situasi sebenar sekiranya berlaku banjir sama ada banjir monsun atau banjir kilat di sekitar kampus.

Projek penyelidikan ini berjaya dibangunkan menggunakan geran dalaman dan Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS).

Setelah hampir tiga tahun berlalu dengan dua episod banjir yang direkodkan pada 2016 dan 2017, Unisza dan UMT tidak lagi mengalami banjir mega yang serius setakat ini.

Igauan hampir 35 tahun masalah banjir khususnya di kawasan Gong Badak, Pok Tuyu dan sebahagian Daerah Kuala Nerus telah berjaya diselesaikan walaupun tidak sepenuhnya dengan pengetahuan, kepakaran dan kerjasama di antara universiti, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini