MARYLAND – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memuji impak diberikan oleh pemain sensasi, Gareth Bale yang membantu pasukannya bangkit menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pramusim Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Galacticos ketinggalan 0-2 hasil jaringan Alexandre Lacazette dan Pierre Emerick-Aubemayang sebelum Bale berjaya merapatkan kedudukan selepas dimasukkan pada babak kedua.
Pemain muda Sepanyol, Marco Asensio mengikat kedudukan menjadi 2-2 memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti yang dimenangi oleh Real dengan keputusan 3-2.
Zidane yang sebelum ini dikritik hebat kerana mahu Bale berhijrah daripada kelab itu pada kadar segera mengakui pemain antarabangsa Wales itu telah beraksi dengan baik dan profesional tanpa menghiraukan kontroversi yang melanda dirinya.
“Bale beraksi dengan cemerlang pada perlawanan ini dan begitu juga rakan-rakan sepasukan yang lain. Buat masa ini, dia kekal dan komited bersama pasukan tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.
“Cuma situasinya tidak banyak berubah kerana saya masih belum bercakap dengannya. Bagaimanapun, dia tetap menjalani sesi latihan pramusim seperti biasa dan tidak mempunyai masalah untuk diturunkan pada mana-mana perlawanan.
“Secara keseluruhan, ini adalah aksi yang cukup positif daripada pasukan meskipun pada awalnya agak sukar untuk bersaing selepas Nacho dilayangkan kad merah pada awal babak pertama. Selepas pemain mereka (Sokratis Papastathopoulos) turut dibuang padang, barulah saingan sedikit seimbang,” katanya. – Agensi











