LONDON – Serena Williams mendedahkan bahawa dia pernah menemui pakar terapi selepas tewas dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2018 kepada Naomi Osaka.
Bintang AS itu diingati selepas mengamuk di New York ekoran kekalahan itu dan melabelkan pengadil perlawanan sebagai ‘penipu’ dan ‘pencuri’.
Dia turut dikenakan penalti kerana menghempas raket selain menggunakan kata-kata kesat.
“Saya tidak tenang. Saya mula bertemu pakar terapi.
“Saya mencari jawapan, walaupun rasa rasakan saya sudah semakin baik tetapi saya tidak bersedia untuk beraksi,” katanya menerusi artikel yang dikeluarkan dalam majalah AS, Harper’s Bazaar.
Dalam artikel itu, dia turut memohon maaf kepada Osaka yang menundukkannya dalam aksi straight set di final Terbuka AS.
“Saya berbangga dengan pencapaian awak dan saya memohon maaf atas tindakan saya.
“Saya merasakan saya lakukan sesuatu yang tepat tetapi sama sekali tidak menjangkakan, ia akan menjadi tumpuan media.
“Saya berharap, situasi itu akan menjelma sekali lagi. Saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada awak.
“Saya tidak mahu mencuri sinar cahaya daripada mana-mana atlet wanita lain terutama bagi mereka yang bekulit hitam,” kata Williams.-AFP











