LABIS 25 Julai – Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Labis dan Dewan Muslimat Pas Kawasan Labis membuat satu laporan di Balai Polis Labis berhubung tindakan pemilik akaun Facebook bernama Windy Loong yang memuat naik status dan gambar menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh berkata, laporan itu bertujuan mengesa pihak polis mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pemilik akaun Facebook tersebut yang disifatkannya sibagai biadab, berniat jahat dan busuk hati.
“Perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW oleh mana-mana pihak tidak boleh diterima sama sekali oleh umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.
“Pelaku sengaja mahu membangkitkan kemarahan umat Islam dan perbuatan biadab tersebut tidak boleh dimaafkan dan perlu dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan polis tersebut pada pagi ini.
Kira-kira 60 ahli Pergerakan Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas Labis hadir bagi menzahirkan bantahan terhadap perbuatan biadab pemilik akaun facebook atas nama Windy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW di Balai Polis Labis itu.
Katanya, perbuatan menyentuh agama Islam oleh pihak tertentu sudah kerap berlaku dan kini tiba sampai masanya peruntukkan undang-undang yang ada digunakan sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perbuatan menghina agama serta kepercayaan mana-mana kaum di negara ini tidak berulang.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Labis, Ruzanah Misman berkata, pelaku mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman setimpal dengan apa yang dilakukanya.
“Sudah kerap perbuatan menghina agama Islam berlaku, tapi setiap kali berlaku kita tidak nampak pelaku dikenakan tindakan tegas yang boleh memberi pengajaran kepada mereka yang berhasrat melakukan peebuatan sama.
“Perbuatan seumpama ini jika dibiarkan boleh mengugat keamanan dan perpaduan kau di negara ini. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan suasana tidak tenteram berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE











