Wanita rugi RM64,545 ditipu Love Scam - Utusan Malaysia

Wanita rugi RM64,545 ditipu Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seorang juruwang wanita di Kepala Batas di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM64,545 hangus dipercayai menjadi mangsa penipuan Love Scam.

Mangsa berusia 43 tahun itu dikatakan terjerat dalam sindiket terbabit selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa dari Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah bertukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dipujuk dengan kata-kata manis dan dijanjikan dengan hadiah oleh suspek.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenalannya itu menyatakan dia telah menghantar hadiah berupa barangan emas 24 karat bersama wang tunai AS$40,000 (RM164,563) melalui kurier sebagai tanda persahabatan kepada mangsa.

“Dua hari kemudian, mangsa telah dihubungi oleh individu yang mendakwa sebagai ajen kurier di Johor sambil memberitahu barangan tersebut telah sampai, namun mangsa perlu membayar kos pengangkutan sebanyak RM2,700,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang tidak berfikir panjang telah membuat pembayaran itu kepada satu akaun dengan harapan untuk mendapatkan barangan tersebut.

“Dia telah dijanjikan akan mendapat barangan itu dalam masa seminggu, namun kemudiannya dimaklumkan terdapat masalah pelepasan barang daripada pihak kastam.

“Mangsa kemudiannya membuat tambahan pembayaran menerusi enam transaksi deposit tunai di bank di Butterworth ke dalam akaun suspek yang keseluruhannya berjumlah RM64,545 seperti diminta,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, wanita itu akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas sindiket berkenaan masih meminta wang daripadanya.

“Sindiket juga telah memberi pelbagai alasan apabla dia bertanyakan berhubung barangan itu yang belum sampai sebelum mangsa membuat laporan polis,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini