Wanita maut motosikal langgar kerbau - Utusan Malaysia

Wanita maut motosikal langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 27 Julai – Lagi kes langgar haiwan berkeliaran, kali ini melibatkan seorang wanita yang maut setelah motosikal ditunggangi melanggar seekor kerbau dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Kuala Ping – Teris di selekoh Kampung Paya Akob dekat sini awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Rofaidah Muda, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam nahas.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, Rofaidah yang tidak bekerja tinggal di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Perah, Ajil dekat sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberitahu, nahas itu berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak Evo dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Nibong dekat sini.

“Bagaimanapun setiba di tempat kejadian, mangsa gagal membrek motosikalnya lalu melanggar seekor kerbau menyebabkannya cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya hari ini.

Mohd. Adli berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, hasil siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan berselekoh selain cuaca baik serta permukaan jalan kering. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini