KOTA KINABALU 24 Julai- Polis menahan seorang wanita warga asing serta merampas dadah disyaki syabu seberat 5.9 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM275,000 dalam operasi di Bandar Sierea, dekat sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah malam itu, suspek berusia 32 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen yang sah itu ditahan dalam sebuah rumah di kawasan berkenaan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan sebuah beg galas berwarna hijau berisi satu kotak warna kelabu.
“Apabila dibuka, terdapat berisi satu bungkusan teh cina mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.507 kg. “Pemeriksaan juga turut dilakukan terhadap sebuah kenderaan yang dipakirkan di rumah berkenaan dan menemukan lima bungkusan yang turut mengandungi hablur jernih dipercayai syabu seberat 5.44gram yang di sembunyikan di beberapa bahagian di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan polis di sini hari ini.
Zaini berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki warga asing di Menggatal serta dipercayai sedang menunggu individu berkenaan ketika serbuan.
Tambahnya, pihak polis percaya dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya- BERNAMA











