BESUT 24 Julai – Seorang wanita cedera di muka dan tangan setelah ditikam dengan alat pemutar skru oleh bekas suaminya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pantai Peranginan Air Tawar dekat sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, mangsa berumur 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di situ didatangi bekas suaminya yang dikatakan memujuknya supaya rujuk semula.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, suspek terbabit berusia 31 tahun yang bekerja sebagai nelayan gagal memujuk mangsa untuk kembali kepadanya.
Katanya, berang setelah keinginannya ditolak, berlaku perbalahan sebelum lelaki itu bertindak menikam muka dan tangan mangsa dengan pemutar skru.
“ Mangsa yang mengalami kecederaan di bawah mata kanan, kedua-dua tangan dan kening kiri telah dihantar ke Hospital Besut oleh orang awam untuk rawatan.
“Suspek berjaya ditahan di Jalan Cawat Kuala Besut kira-kira sejam kemudian oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut,” katanya di sini petang tadi.
Menurutnya, turut dirampas, sebatang pemutar skru berbentuk ‘T’, satu kunci motosikal dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.
Jelasnya, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut.
Tambah beliau, suspek dan mangsa telah berkahwin kira-kira lima tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan berumur 4 tahun sebelum bercerai di Mahkamah Syariah Besut dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











