MARANG 26 Julai – Pas berjanji akan menepis setiap serangan yang mahu menggagalkan agenda kerjasama di bawah prinsip ta’awun antara parti itu dengan UMNO yang bakal dimeterai pada 14 September depan secara matang dan sederhana.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak sesekali terjejas dengan serangan-serangan tersebut walaupun sedia maklum yang kerjasama berkenaan sememangnya menjadi mimpi ngeri buat kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Pepatah mengatakan kita mesti jadi laksana pokok yang berbuah walaupun kanak-kanak melontar dengan batu, tetapi kita balas dengan buah.
“Apa yang penting ialah kita hendak mendominasi orang Melayu dan Islam dalam politik negara tanpa mengetepikan kaum bukan Islam. Kita tumpukan pada Pas dan UMNO dahulu kerana ini merupakan parti terbesar orang Melayu dan Islam, yang ada akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Piagam muafakat di antara UMNO dan Pas yang telah mencapai kata sepakat untuk saling bekerjasama dijadualkan ditandatangani pada 14 September depan pukul 11 pagi bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung kedua-dua parti iaitu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan semalam, kedua-dua parti telah memuktamadkan dan akan memeteraikan satu piagam bersama dan satu memorandum persefahaman yang telah siap digubal oleh jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.
Abdul Hadi turut mengulangi pendirian yang Pas tidak berselera untuk bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sekali pun ditawarkan peluang oleh gabungan tersebut sebagai rakan kongsi.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui kini sudah ‘berselera’ dengan perkembangan terbaharu mengenai piagam muafakat antara Pas-UMNO.
“Politik ini macam hidangan, ada banyak lauk tetapi kita pilihlah lauk yang ada selera, yang tak ada (selera) tak perlu pilih.
“Kita tidak ada selera dengan DAP dan Amanah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











