[VIDEO] Produk tiruan bernilai RM66,000 dirampas di pasar malam Batu Feringghi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Produk tiruan bernilai RM66,000 dirampas di pasar malam Batu Feringghi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 25 Julai – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) negeri merampas pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai kira-kira RM66,000 dalam operasi di pasar malam Batu Feringghi di sini.

Operasi itu digerakkan sekumpulan 20 anggota PKPDNHEP dengan dibantu seramai 14 anggota
penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung, antara barangan berjenama tiruan yang dirampas itu termasuk beg tangan wanita; kasut; jersi dan topi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, produk yang dirampas itu merupakan barangan tiruan kepada pelbagai jenama seperti Adidas; Jimmy Choo; Michael Kors; Nike; Puma dan banyak lagi yang dijual pada harga lebih 50 peratus daripada harga asal.

“Dalam operasi ini, seramai tujuh individu berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk seorang warga Bangladesh berusia 30-an telah disiasat.

“Ini termasuk bagi menentukan sama ada mereka merupakan pemilik kepada perniagaan itu atau hanya pekerja untuk dikenakan tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ching Chung, kesemua tangkapan itu akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jelas beliau, mereka yang disabit kesalahan boleh didenda RM20,000 setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut menahan dua warga Bangladesh yang disyaki berniaga di pasar malam terbabit dan akan disiasat di bawah akta berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Ching Chung berkata, pemeriksaan pihaknya di kedai-kedai runcit; kantin sekolah serta dalam kalangan penjaja di luar sekolah mendapati tidak ada penjualan gula-gula Ghost Smoke.

Jelasnya, operasi itu dijalankan pihaknya di hampir 25 buah premis di sekitar negeri ini sejak awal minggu ini berikutan laporan kebimbangan ibu bapa terhadap penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini